Pindaan dilakukan dalam garis panduan penubuhan, pendaftaran CLC di Sarawak

DIPINDA: Fatimah menunjukkan garis panduan baharu bagi penubuhan dan pendaftaran CLC di Sarawak.

DIPINDA: Fatimah menunjukkan garis panduan baharu bagi penubuhan dan pendaftaran CLC di Sarawak.

KUCHING: Beberapa pindaan telah dilakukan dalam garis panduan penubuhan dan pendaftaran Pusat Pembelajaran Komuniti (CLC) di Sarawak, sebuah kemudahan pendidikan asas untuk anak warganegara Indonesia yang bekerja di ladang-ladang di negeri ini.

Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Datuk Fatimah Abdullah berkata antara pindaan tersebut ialah anak-anak haruslah sah kepada pekerja ladang warganegara Indonesia yang bekerja secara sah dan berumur 7 hingga 12 tahun di Sarawak.

Selain itu, katanya permohonan penubuhan CLC juga hanya boleh dibuat oleh pengurusan ladang sahaja.

“Pihak pengurusan ladang yang berhasrat menubuhkan CLC juga hendaklah memohon dengan menggunakan tatacara yang ditetapkan dan dikemukakan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia dengan maklumat yang lengkap,” katanya pada sidang media di pejabatnya, semalam.

Beliau berkata pindaan turut dibuat bagi pelantikan guru besar di mana guru besar yang dilantik hendaklah mempunyai kelulusan akademik yang dibenarkan oleh Ketua Pendaftar.

Manakala bagi guru, katanya guru-guru yang dicadangkan untuk mengajar di CLC hendaklah mengikut prosedur yang telah ditetapkan.

“Guru-guru warganegara Indonesia yang dicadangkan untuk mengajar di CLC hendaklah melalui Kedutaan Malaysia di Indonesia sebelum dibenarkan mengajar di CLC berkenaan,” katanya.

Dalam pada itu, Fatimah berkata bagi mata pelajaran Bahasa Melayu, Sejarah Malaysia dan Pendidikan Islam/Pendidikan Moral, pengurusan CLC hendaklah memberi keutamaan kepada warganegara Malaysia yang diluluskan oleh ketua pendaftar.

Malah, katanya kerajaan Malaysia juga boleh mengenakan apa-apa syarat tambahan dari semasa ke semasa kepada semua guru yang mengajar di CLC.

Beliau menjelaskan bahawa pihak pengurusan CLC turut dipertanggungjawab menyediakan kurikulum yang bersesuaian sebagaimana yang diluluskan oleh Ketua Pendaftar.

“Ketua pendaftar boleh menetapkan mana-mana mata pelajaran dalam kurikulum kebangsaan sebagai kurikulum tambahan khususnya mata pelajaran Bahasa Malaysia, Sejarah Malaysia dan Pendidikan Islam/ Pendidikan Moral di CLC,” katanya.

Fatimah berkata pindaan garis panduan tersebut turut menegaskan bahawa CLC hanya boleh beroperasi di ladang-ladang di negeri ini sahaja.

Katanya lokasi tapak dan premis CLC hendaklah mendapat kelulusan pendaftar, pihak Majlis Perancangan Negeri (SPA) dan pengurusan ladang.

Pada masa sama, beliau berkata pengurusan ladang dan lembaga pengelola CLC hendaklah bertanggungjawab menyediakan kemudahan khas bagi kanak-kanak yang berkeperluan khas.

Justeru, Fatimah berkata perjumpaan akan diadakan dengan semua pengurus ladang pada 20 Januari ini di Miri bagi memperjelaskan mengenai pindaan garis panduan tersebut.

Setakat ini, terdapat 16 CLC yang sudah beroperasi di seluruh negeri dengan melibatkan seramai 767 pelajar yang terdiri daripada anak-anak warganegara Indonesia yang bekerja di ladang-ladang di negeri ini.

LikeTweet

Source: http://miri.my/2016/01/14/pindaan-dilakukan-dalam-garis-panduan-penubuhan-pendaftaran-clc-di-sarawak/