Pilih kerajaan stabil, mampu jaga keselamatan dan ketenteraman

CENDERAMATA: Law (dua kanan) menyampaikan cenderamata kepada Abdul Rahman
(tiga kanan) pada Program Lan Berambeh di Balai Bomba dan Penyelamat Lopeng,
Miri kelmarin.

CENDERAMATA: Law (dua kanan) menyampaikan cenderamata kepada Abdul Rahman (tiga kanan) pada Program Lan Berambeh di Balai Bomba dan Penyelamat Lopeng, Miri kelmarin.

MIRI: Rakyat Sarawak harus memilih kerajaan yang stabil serta mampu menjaga keselamatan dan ketenteraman awam ketika pembuangan undi pada 7 Mei depan.

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata sebuah kerajaan yang aman dan damai serta mempunyai kestabilan politik yang mantap harus diberi pertimbangan oleh rakyat.

“Kita mahu rakyat berfikir sejenak bahawa terdapat negara dalam keadaan hura-hara dan kacau-bilau kerana tiada kestabilan politik, sehubungan itu amat perlu rakyat memilih kerajaan yang stabil dan aman,” katanya pada Program Lan Berambeh di Balai Bomba dan Penyelamat Lopeng di sini, kelmarin.

Beliau memberitahu, rakyat di negara ini perlu bersyukur kerana mereka bergerak bebas tanpa bimbang akan keselamatan mereka terancam jika dibandingkan dengan negara-negara lain yang bermandi darah.

“Rakyat Sarawak harus mengambil kesempatan pada pilihan raya kali ini untuk membentuk dan mengekalkan kerajaan yang pada dasarnya menjaga keselamatan dan ketenteraman mereka,” katanya.

Abdul Rahman berkata, pengundian adalah proses pertama dalam membentuk kerajaan dan masa depan rakyat bergantung kepada kerajaan yang mereka pilih ketika membuang undi.

“Pilih kerajaan yang benar-benar menjaga kebajikan mereka terutama dalam hal-hal keselamatan dan ketenteraman kerana tanpa faktor ini mereka tidak mampu bergerak bebas dan mengamalkan kepercayaan masing-masing,” jelasnya.

Dalam perkembangan lain, beliau turut memuji peranan dan profesion anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat selama ini banyak mengerahkan keringat membantu masyarakat dalam pelbagai situasi.

“Kita komited memastikan Jabatan Bomba dan Penyelamat sebuah agensi nombor satu memberi khidmat dan bakti kepada masyarakat dalam apa juga kemungkinan tidak kira dalam operasi kebakaran dan sebagainya,” katanya.

Pada masa sama, kerajaan juga meluluskan sumbang dua helikopter masing-masing untuk Sabah dan Sarawak sebagai komitmen membantu melicinkan tugas-tugas anggota bomba.

Hadir sama Penguasa Kanan Bomba 1 Law Poh Kiong, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Miri Ali Bema, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Lopeng Alimat Sam, Pengerusi Bomba Sukarela Batu Niah Yong Hin Yew dan ketua-ketua Komuniti Bomba Desaras Tudan dan Tudan 2A.

LikeTweet

Source: http://miri.my/2016/04/27/pilih-kerajaan-stabil-mampu-jaga-keselamatan-dan-ketenteraman/