KUCHING: Pakatan Harapan (PH) akan tetap berpegang teguh kepada prinsip asas sedia ada iaitu setiap parti akan bertanding di kerusi yang dipertandingkan pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13)lalu (2013).
Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak Chong Chieng Jen berkata ‘status quo’ itu perlu dikekalkan bagi memastikan kemenangan besar berpihak kepada PH.
“Tiada cadangan untuk bertukar kerusi antara kedua-dua pihak (DAP dan Parti Keadilan Rakyat) itu hanya spekulasi media.
“Semasa kunjungan ke rumah terbuka Hari Krismas Baru Bian (pengerusi PKR Sarawak), saya dan beliau langsung tidak menyentuh mengenai pertukaran kerusi.
“Kami hanya menyentuh mengenai prinsip asas sedia ada dipegang oleh PH berhubung pembahagian kerusi dalam kalangan tiga parti iaitu DAP, PKR dan Amanah,” katanya ketika dihubungi semalam.
Chong yang juga Ahli Parlimen Bandar Kuching berkata demikian sebagai mengulas laporan media mengatakan DAP dan PKR Sarawak mungkin bertukar kerusi membabitkan Parlimen Stampin serta Miri pada PRU akan datang.
Beliau menegaskan, kedua-dua parti tidak perlu membuka atau membangkitkan semula isu pembahagian kerusi dan pertukaran kerusi kerana tindakan itu tidak akan memberi manfaat kepada parti dalam PH.
“Pilihan raya kali ini adalah pilihan raya yang sangat penting kepada Malaysia secara keseluruhannya dan Sarawak. Pakatan Harapan mesti meletakkan calon yang boleh menang.
“Kalau perkara ini dilakukan semula, bermakna Pakatan Harapan kembali ke titik awal usaha memenangi kerusi-kerusi dipertandingkan.
“Jangan ulang pencapai-an kita pada Pilihan Raya Negeri lalu,” ujarnya sambil menambah, musuh utama Pakatan Harapan adalah Barisan Nasional (BN).
Ujarnya tindakan membangkitkan semula isu pembahagian kerusi dalam kalangan PH Sarawak tidak akan memberi manfaat kepada semua pihak.
Chong bagaimanapun berkata jika ada dalam kalangan parti PH yang merasakan tidak dapat mempertahan atau memenangi kerusi dipertandingkan sebelum ini, cadangan pertukaran kerusi boleh dipertimbang.
Tambahnya kerusi berkenaan boleh dibuka kepada mana-mana tiga parti dalam PH yang mempunyai kredibi-liti dan calon boleh menang.
“Ini kes yang berbeza, cadangan pertukaran kerusi perlu dipertimbangkan kerana Pakatan Harapan harus meletakkan calon terbaik untuk menang,” tegas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Sentosa itu.
Pada PRU13, DAP bertanding di 11 kerusi iaitu Mas Gading, Serian, Sarikei, Bandar Kuching, Stampin, Mukah, Bintulu, Lanang, Kapit, Sibu dan Lawas.
Manakala PKR bertanding di 14 kerusi iaitu Petra Jaya, Batang Lupar, Sri Aman, Julau, Lubok Antu, Kanowit, Selangau, Baram, Betong, Limbang, Puncak Borneo (yang sebelum ini dikenali Mambong), Saratok, Hulu Rajang dan Miri.
DAP memenangi lima daripada 11 kerusi dipertandingkan iaitu Bandar Kuching, Stampin, Sarikei, Lanang dan Sibu sementara PKR hanya memenangi satu daripada 14 kerusi dipertandingkan iaitu Parlimen Miri.
Source: http://miri.my/2016/12/27/ph-berpegang-kepada-prinsip-asas-tiada-pertukaran-kerusi-chong/