PGA rampas haiwan dilindungi

MIRI: Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas 18 burung daripada spesis terancam serta dua tupai Sugar Glider (Petaurus Breviceps) yang dianggarkan bernilai RM30,150 dalam serbuan di sebuah premis di sini, semalam.

Pegawai Pemerintah Batalion 12 PGA, Superintendan Tan Hiap Seng, berkata pasukan yang diketuai Asisten Superintendan Ho Chee Kun menyerbu premis berkenaan pada jam 10.15 pagi untuk menjalankan pemeriksaan.

“Sejurus masuk, pasukan kita menemui pelbagai jenis burung liar spesis terancam yang disimpan dalam sangkar mengikut gred dan baka burung terbabit,” katanya.

Seorang lelaki warga tempatan berusia 55 tahun yang dipercayai penjaga premis turut ditahan dalam serbuan.

Antara spesis burung dilindungi yang disimpan dalam sebuah premis dirampas Batalion 12 Pasukan Gerakan Am (PGA) Miri dalam serbuan di Miri. - Foto Erika George

Antara spesies burung yang diselamatkan ialah empat ekor Murai Kampung, seekor burung jenis Love Bird, seekor Serindit (Hanging Parrot), seekor King-King, dua ekor burung Tiong Mas (Mommon Hill Myna), tiga ekor Kapas Tembak, tiga ekor Murai Batu, dua ekor Merbuk Balam (Zebra Dove), seekor Merbuk Siam dan dua ekor Sugar Glider (Petaurus Breviceps).

Katanya, pemeriksaan lanjut yang dijalankan mendapati lelaki terbabit gagal mengemukakan sebarang dokumen serta permit sah untuk memiliki semua spesies hidupan liar yang berada di premis itu.

Lelaki itu ditahan bagi membantu siasatan manakala semua hidupan liar terbabit dirampas dan diserahkan kepada pihak Sarawak Forestry Corporation (SFC) Cawangan Miri untuk siasatan di bawah Seksyen 29 Sarawak Wildlife Protection Ordinance 1988.

“Penangkapan suspek adalah antara kejayaan PGA khususnya dalam membanteras kegiatan penyeludupan haiwan spesis terlindung di negeri ini,” katanya.
Source: https://www.bharian.com.my/berita/wilayah/2020/01/649228/pga-rampas-haiwan-dilindungi