Petronas bekal 450 mmscfd gas asli untuk sektor kuasa, bukan kuasa

KUCHING: Petroliam Nasional Berhad (Petronas) akan membekalkan 450 juta kaki padu (mmscfd) gas asli untuk kegunaan sektor kuasa dan bukan kuasa di Sarawak.

Persetujuan itu dimeterai menerusi Perjanjian Prinsip dengan kerajaan negeri yang ditandatangani oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Tan Sri Datuk Amar Mohamad Morshidi Abdul Ghani dan Naib Presiden Eksekutif Petronas dan Ketua Pegawai Eksekutif (Huluan) Datuk Anuar Taib di sebuah hotel terkemuka di sini, semalam.

Acara penuh bersejarah itu turut disaksikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem.

Di bawah perjanjian itu, Petronas turut membekalkan 250 mmscfd gas asli kepada Sarawak Energy Berhad (SEB) untuk loji kuasa yang sedia ada di Tanjung Kidurong, Bintulu dan loji jana kuasa 1200MW baharu di Samalaju Industrial Park.

Justeru persetujuan itu membawa kepada Perjanjian Jualan Gas (GSA) antara Petronas dan SEB untuk membekalkan 100 mmscfd gas asli kepada loji kuasa Tanjung Kidurong.

Perjanjian itu ditandatangani oleh Datuk Mohd Anuar Taib dan Ketua Pegawai Eksekutif SEB Datuk Torstein Dale Sjotveit dan ahli Lembaga Pengarah Datuk Fong Joo Chung.

Untuk tujuan itu, SEB sedang membangunkan projek penjanaan kuasa gas dari lima hingga 10 tahun akan datang dengan rancangan untuk menambah kapasiti penjanaan kuasa gas sebanyak 1600MW.

Difahamkan, pelan dua fasa itu untuk meningkatkan hasil serta mengukuhkan campuran penjanaan gas.

Setakat ini, 15 peratus daripada penjanaan kuasa Sarawak adalah daripada loji dikuasakan gas di Bintulu dan Miri, sementara 10 peratus lagi daripada sumber arang batu.

Kira-kira 75 peratus daripada tenaga semasa Sarawak dihasilkan daripada loji tenaga hidro di Murum, Bakun dan Batang Ai.

Penjanaan campuran SEB adalah 60 peratus kuasa hidro, 20 peratus arang batu dan 20 peratus daripada pelbagai sumber tenaga asli Sarawak.

Dalam pada itu, kerajaan negeri dan Petronas turut menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) untuk menjalankan kajian bersama dalam Pelan Induk Petro Kimia Sarawak.

Oleh itu, Petronas akan membekalkan baki 200 mmscfd gas asli kepada Sarawak sebagai bahan mentah bagi industri petro kimia di negeri ini.

Menerusi MoU tersebut, kedua-dua pihak akan menjalankan kajian kebolehlaksanaan teknikal, perdagangan dan ekonomi untuk pembangunan petro kimia bersama di negeri ini.

Sementara itu, Petronas juga menerima kelulusan bagi lesen untuk mengendalikan pemasangan penjana elektrik di projek LNG Train 9 di Bintulu daripada kerajaan negeri bagi memulakan operasi loji LNG.

Lesen yang dikeluarkan oleh Unit Inspektorat Elektrik (EIU) Kementerian Kemudahan Awam itu akan membolehkan Petronas menghidupkan loji LNG darat terbaharunya pada suku kedua tahun ini.

Hadir sama dalam majlis tersebut, Menteri Pelancongan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Abang Openg dan Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

LikeTweet

Source: http://miri.my/2016/04/03/petronas-bekal-450-mmscfd-gas-asli-untuk-sektor-kuasa-bukan-kuasa/