Perubatan tradisional adalah sumber bernilai: KM

Oleh Connie Sylvia Mesa//

MIRI: Perubatan tradisional atau perubatan tambahan yang dijadikan sebagai rawatan alternatif terbukti mampu memberi manfaat di beberapa hospital di negara ini.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem berkata, Hospital Umum Sarawak antara contoh pusat perubatan yang mengamal dan mempunyai unit berkenaan.

Justeru, perubatan tradisional perlu dilihat sebagai sumber bernilai termasuk menjadi sumber sokongan utama dalam penemuan ubat-ubatan baharu, katanya.

Adenan berkata demikian dalam teks ucapan yang dibaca Menteri Muda Perhubungan Datuk Lee Kim Shin pada majlis perasmian Persidangan Antarabangsa Tabib Perubatan Tradisional dan Rawatan Semula Jadi bertempat di Hotel Meritz Miri semalam.

Adenan menjelaskan, perubatan tradisional ini dipraktik secara meluas di negara Asia serta diguna pakai masyarakat pedalaman sehingga kini.

Keberkesanan perubatan tradisional seperti herba dan rawatan semula jadi diamalkan di negara China dan India yang dijadikan antara sumber penjagaan kesihatan.

Sistem perubatan tradisional dan barat tidak perlu bercanggah kerana dalam konteks penjagaan kesihatan secara asas. Kedua-duanya boleh digabung mengguna kaedah betul untuk membantu mengubati apa sahaja penyakit, jelasnya.

Menurutnya, kebanyakan negara mengamalkan kedua-dua perubatan membukti keberkesanan gabungannya.

Di beberapa negara, penjagaan kesihatan asas melalui perubatan tradisional dilihat mampu memberi kesan malah menjadi rawatan mengubati serta mencegah penyakit biasa, ujarnya.

Katanya, perubatan purba di negara lain seperti perubatan Ayurveda di India menawarkan pendekatan sama kepada kesihatan yang menjadi aset sejarah kepada gejala utama seperti gaya hidup tidak sihat, proses perbandaran yang tidak dirancang secara pesat dan penuaan.

Menerusi perubatan kuno terbabit, ia membantu memberi keberkesanan kepada penyakit kronik tidak berjangkit seperti penyakit jantung, kencing manis dan mental.

Mengenai persidangan tersebut, Adenan memberitahu ia tepat pada masanya kerana memberi ruang kepada masyarakat setempat mengetahui secara mendalam dalam perubatan tradisional dan rawatan semula jadi terbabit.

Sementara itu, lebih 800 peserta terdiri daripada doktor, pakar dan tabib perubatan tradisional serta pengamal rawatan semula jadi dari seluruh dunia menyertai persidangan terbabit.

Majlis itu anjuran Persatuan Tabib Perubatan Tradisional Cina Miri (MTCPA) bagi menggalak orang ramai memahami mengenai perubatan tradisional dan rawatan semula jadi dalam menyembuhkan penyakit.

Antara maklumat diperolehi ialah keberkesanan perubatan menerusi akupuntur telinga, pengurusan kesihatan dalam bidang sukan, herba untuk penuaan, antioksidan, terapi harmoni semula jadi, rawatan kanser dan sebagainya.

Selain persidangan, acara rawatan percuma turut diberikan kepada masyarakat setempat khususnya mereka yang menghidap penyakit pada hari ini (23 Mei) bermula jam 1 petang.

Hadir sama ialah Setiausaha Agung SUPP Datuk Sebastian Ting, Presiden MTCPA Profesor Datuk Dr Tan Kit Weng, Penasihat MTCPA Profesor Dr. Harlem Shah dan tetamu kehormat yang lain.

Source: http://www.theborneopost.com/2015/05/23/perubatan-tradisional-adalah-sumber-bernilai-km/

Source: http://www.theborneopost.com/?p=494367