Pertubuhan wanita perkasa fungsi Jabatan Wanita dan Keluarga

MIRI: Kekuatan pertubuhan wanita di negeri ini membantu memperkasa peranan Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak dalam menjaga kepentingan serta kebajikan kaum hawa.

Menteri Kebajikan Wanita dan Pembangunan Keluarga Sarawak, Fatimah Abdullah berkata, sokongan pertubuhan wanita diperlukan bagi membantu melaksanakan program bantuan dan kemahiran khasnya untuk ibu tunggal serta suri rumah tangga.

Kita mahu memperkasa NGO wanita kerana mereka merupakan rakan stategi melaksanakan program teras Jabatan Kebajikan Wanita dan Keluarga, katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan bengkel Pemerkasaan NGO Wanita dan program Sarawak Home Executive (SHE) di Hotel Mega di sini, kelmarin.

Lima teras utama Jabatan Wanita ialah pemerkasaan ekonomi wanita, pemantapan institusi keluarga, kepimpinan dan pembuat keputusan, undang-undang dan keselamatan serta kesihatan.

Beliau memberitahu, Sarawak kini mempunyai sebanyak 117 NGO wanita berdaftar yang terbahagi kepada NGO kebajikan, NGO keagamaan, NGO etnik dan NGO politik.

Setiap NGO diterajui dan disertai oleh wanita yang mempunyai objektif dan kumpulan sasar tersendiri.

Jelasnya, penganjuran bengkel antara usaha jabatan dalam meningkat kemahiran ahli pertubuhan wanita sekali gus memantapkan tahap pengurusan pertubuhan mereka.

Kita juga ingin menerap semangat kekitaan dalam kalangan ahli NGO supaya dapat bergerak sebagai pertubuhan lebih mantap, jelasnya.

Fatimah memberitahu, bengkel di sini adalah siri kedua selepas penganjuran siri pertama di Kuching pada 10 hingga 11 Mac lalu. Bengkel seterusnya akan diadakan di Sibu pada 18 hingga 19 April.

Mengulas tentang kursus SHE, beliau memberitahu, penyertaan disasar untuk golongan ibu tunggal bertujuan untuk mengurangkan kebergantungan terhadap pembantu rumah asing.

Menerusi SHE, peserta dibekal dengan pelbagai kemahiran seperti penjagaan warga emas, anak, menseterika pakaian dan kemahiran memasak dan pembersihan rumah.

SHE menyedia khidmat profesional kerana ahli adalah terlatih dan faham tentang budaya kita kerana mereka adalah dari kalangan orang tempatan, jelasnya.

Hadir sama ialah Menteri Muda Pendidikan Awal Kanak-Kanak dan Pembangunan Keluarga, Rosey Yunus dan Pengarah Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak, Noriah Ahmad.

Source: http://www.theborneopost.com/2015/03/29/pertubuhan-wanita-perkasa-fungsi-jabatan-wanita-dan-keluarga/