Pertandingan halaman cantik anjuran MBM dapat sambutan

MIRI: Majlis Bandaraya Miri (MBM) telah menerima sekitar 61 penyertaan pelbagai kategori untuk Pertandingan Halaman Cantik 2014/2015.

Jurucakap penganjur berkata, objektif pertandingan ini adalah untuk memupuk budaya menghias halaman rumah, pejabat dan premis masing-masing sejajar dengan slogan MBM Miri Go Green yang mahu masyarakatnya mengamalkan sikap bersih dan mencantikkan persekitaran.

Pertandingan ini terbuka kepada 10 kategori iaitu rumah tradisional/kampung, rumah sesebuah/banglo, rumah teres lot tengah, rumah berkembar/teres, sekolah rendah, sekolah menengah, universiti/kolej/institut pendidikan/latihan, bangunan kerajaan, bangunan swasta dan hotel, katanya.

Menurutnya, pihak penganjur menerima 11 penyertaan kategori sekolah menengah terbanyak diikuti sembilan penyertaan sekolah rendah dan sesebuah/banglo, rumah tradisional/kampung (lapan), rumah berkembar/teres (enam), rumah teres lot tengah (lima), hotel (empat) dan tiga penyertaan setiap kategori masing-masing dari universiti, kolej, institut pendidikan,latihan, bangunan kerajaan dan bangunan swasta.

Pelbagai hadiah menarik menanti tiga pemenang utama dari setiap kategori.

Hadiah pertama bagi setiap kategori ialah RM1,000 beserta sebuah trofi dan sijil, diikuti dengan tempat kedua RM700 beserta sebuah trofi dan sijil manakala tempat ketiga akan menerima RM500, trofi beserta sijil.

Manakala bagi kategori lain pula akan menerima RM2,000 beserta sebuah trofi dan sijil, dikuti dengan RM1,500 beserta trofi dan sijil manakala tempat ketiga membawa pulang RM1,000 beserta trofi dan sijil.

Penyertaan masih terbuka dan mereka berminat menyertai, boleh mendapatkan borang permohonan di Bangunan Landskap MBM atau Pusat Sehenti MBM pada waktu pejabat, katanya.

Dalam perkembangan lain katanya, MBM turut menganjurkan Pertandingan Foto Miri Cantik 2015 yang telah bermula pada 1 Februari lalu hingga 30 September depan.

Pertandingan ini dibahagi kepada dua kategori iaitu landskap (bandar dan pemandangan) dan aktiviti atau acara.

Hanya foto dicetak dengan saiz 8R (8x12) dipasang pada mounting board berwarna hitam atau berbingkai sahaja diterima.

Foto dihantar haruslah dicetak pada Fujicolour Crystal Archive Paper/Fujifilm dan peserta dibenar untuk menghantar penyertaan tanpa had foto asli.

Tempat pertama bakal menerima wang tunai RM2,000, kamera Fujifilm X-M1 bernilai RM3,000 berserta sijil.

Bagi tempat kedua pula akan membawa pulang RM1,000, Fujifilm X-A1 berserta sijil, manakala tempat ketiga menerima RM800, kamera digital Fujifilm FinePix S8600 berserta sijil.

Sementara lima hadiah saguhati pula masing-masing menerima RM300, kamera digital Fujifilm FinePix JX6600 berserta sijil.

Pihak penganjur akan memaparkan foto pemenang terbabit dalam majalah MBM.

Sehubungan itu, mereka yang berminat boleh mendapatkan borang penyertaan di Bahagian Perhubungan Awam MBM, Soo Chiew Studio, pro-Trade Trading Co dan Ten TV Video Production.

Source: http://www.theborneopost.com/2015/03/20/pertandingan-halaman-cantik-anjuran-mbm-dapat-sambutan/