Pertandingan esei bahasa Cina buka penyertaan masyarakat umum

MIRI:Perpustakaan Awam Miri, Majlis Bandaraya Miri dan Persatuan Penulis Cina Miri masih mengalu-alukan penyertaan pertandingan menulis esei dalam Bahasa Cina Peringkat Sekolah Menengah dan Terbuka pada 18 Jun ini.

Menurut jurucakap penganjur, tarikh tutup penyertaan pada 7 Jun lalu ditunda kepada 14 Jun untuk memberi peluang penyertaan umum masyarakat setempat.

“Sehingga semalam, kami telah menerima 27 penyertaan untuk kategori terbuka dan 54 orang bagi kategori sekolah menengah.

“Penyertaan masih lagi terbuka kepada mereka yang ingin menyertainya terutamanya bagi kategori terbuka,” jelasnya ketika dihubungi semalam.

Katanya, penyertaan terbuka dibuka kepada organisasi atau individu yang berminat.

“Untuk kategori sekolah menengah, ianya dibahagi kepada dua kumpulan iaitu kumpulan pertama bagi mereka di peringkat Peralihan hingga Tingkatan Tiga.

“Manakala kumpulan kedua ialah untuk mereka di peringkat Tingkatan Empat hingga Tingkatan Enam. Kategori terbuka pula, kita menggalakkan penyertaan daripada guru, wartawan, pihak NGO atau penjawat awam,” katanya.

Tambah beliau, peserta dikehendaki membawa peralatan tulis sendiri dan kertas esei akan disediakan oleh pihak penganjur.

Borang penyertaan boleh didapatkan di Perpustakaan Miri, Tingkat 2, Dewan Suarah Miri atau menghubungi Jurailla di talian 085-430020 untuk keterangan lanjut.

Pertandingan terbabit bertemakan ‘I Love Miri’ diadakan bersempena dengan sambutan ulang tahun ke-11 bandar raya Miri.

Pertandingan itu akan berlangsung di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Chung Hua Miri bermula pada jam 8 pagi hingga 12 tengah hari.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Miri Lawrence Lai dijangka menjadi tetamu kehormat sekali gus merasmikan pertandingan berkenaan.

LikeTweet

Source: http://miri.my/2016/06/10/pertandingan-esei-bahasa-cina-buka-penyertaan-masyarakat-umum/