Perkayuan disaran beralih kepada industri hiliran

ANUGERAH: Adenan (lima kiri) merakam gambar kenangan bersama dua penerima
Anugerah Ketua Menteri Sarawak 2016 sempena Jamuan Malam Ulang Tahun Ke-13 SFC
di Kuching kelmarin.

ANUGERAH: Adenan (lima kiri) merakam gambar kenangan bersama dua penerima Anugerah Ketua Menteri Sarawak 2016 sempena Jamuan Malam Ulang Tahun Ke-13 SFC di Kuching kelmarin.

Penggiat industri tidak lagi boleh sekadar eksport kayu balak, sebaliknya beralih kepada produk siap

Oleh Agnes Tugong //

KUCHING: Penggiat industri perkayuan di negeri ini perlu beralih kepada industri hiliran seperti pengeluaran produk siap dan tambah nilai.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem berkata untuk membangunkan industri perkayuan, Sarawak tidak boleh hanya mengeksport kayu balak.

“Saya rasa satu-satunya negeri yang masih mengeksport kayu balak ialah Sarawak dan hanya sedikit negara yang berbuat demikian.

“Satu hari nanti, kita mungkin perlu menghentikan eksport kayu balak dan beralih kepada eksport produk siap,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Jamuan Malam Ulang Tahun Ke-13 Sarawak Forestry Corporation (SFC) di sebuah hotel terkemuka di sini kelmarin.

Terdahulu dalam ucapannya, Adenan mengulangi pendirian tegas kerajaan negeri untuk tidak lagi membenarkan pembukaan kawasan perladangan dan pembalakan baharu di negeri ini.

Pada masa sama, katanya, kerajaan mahu memperluaskan kawasan Hutan Terlindung Sepenuhnya (TPF) bagi melindungi sumber hutan di negeri ini.

Kerajaan negeri, katanya, turut berubah kepada polisi terbuka bagi membolehkan kerjasama dijalinkan dengan badan antarabangsa dan sebagainya.

“Kita akui bahawa kita tidak mempunyai kepakaran tetapi badan antarabangsa mempunyai kepakaran yang kita mahukan.

“Sebab itu, saya menggalakkan SFC supaya bersikap lebih terbuka bukan sahaja dalam penguatkuasaan tetapi juga dalam aspek penyelidikan dan pembangunan,” katanya.

Pada majlis itu, Adenan turut menyampaikan dua Anugerah Ketua Menteri Sarawak 2016 iaitu Pengurusan TPA Terbaik dan ‘Outstanding Honorary Wild Life Ranger.’

Anugerah tersebut masing-masing diterima oleh Lambir Hills National Park, Miri dan John Alit serta menerima sijil, trofi serta sejumlah wang tunai.

Turut diadakan penyampaian replika cek oleh tiga badan korporat bagi projek program angkat tiga plot ‘Bring Back The Rainforest’ di Piasau Nature Reserve, Miri.

Tiga badan korporat tersebut ialah Samling Group of Company, WTK Group of Company dan Ta Ann Holdings Bhd dengan sumbangan masing-masing RM50,0000.

Turut hadir Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Kedua Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Menteri Muda Perancangan Sumber Datuk Naroden Majais, Menteri Muda Alam Sekitar Datu Len Talif Salleh, Ketua Pegawai Eksekutif SFC Wong Ting Chung serta yang lain.

LikeTweet

Source: http://miri.my/2016/11/26/perkayuan-disaran-beralih-kepada-industri-hiliran/