Percepat bina dewan bedah baharu tampung kesesakan Hospital Miri

TINJAU: (Dari kanan) Dr Ting, Alan Ling, Dr Teo dan ahli rombongan yang
lain ketika melawat tapak bagi projek pembinaan dewan bedah di Hospital Miri
semalam yang masih belum siap sehingga kini.

TINJAU: (Dari kanan) Dr Ting, Alan Ling, Dr Teo dan ahli rombongan yang lain ketika melawat tapak bagi projek pembinaan dewan bedah di Hospital Miri semalam yang masih belum siap sehingga kini.

MIRI: Ahli Parlimen Miri Dr Michael Teo semalam menggesa Kementerian Kesihatan mempercepatkan pembinaan dua dewan bedah baharu di Hospital Miri kerana ia telah lama tertangguh.

Beliau yang melahirkan rasa tidak puas hati dengan penangguhan tersebut berkata, kedua-dua dewan bedah tersebut perlu disiapkan dengan segera bagi menampung keperluan pesakit yang semakin bertambah di utara negeri ini, bukan sahaja dari Miri malah dari Baram (termasuk Marudi), Limbang dan Lawas.

“Kementerian perlu mempercepatkan pembinaan, kerana dari apa yang saya lihat, projek ini bermula tiga tahun lalu tetapi sehingga hari ini masih tidak siap-siap,” katanya semasa bercakap kepada pemberita di sini semalam.

Terdahulu beliau mengadakan lawatan ke Hospital Miri bagi meninjau perkembangan projek berkenaan dan mendapatkan sendiri penjelasan mengenainya daripada pihak hospital.

Turut hadir mengiringi beliau ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut Dr Ting Tiong Choon dan Setiausaha DAP Sarawak Alan Ling Sie Kiong.

Menurut Dr Teo, beliau difahamkan bahawa kedua-dua dewan bedah tersebut sepatutnya sudah siap dan kelewatannya menyebabkan ramai pesakit hendak menjalani pembedahan dan rawatan susulan, terpaksa menunggu giliran dengan senarai yang agak panjang.

Katanya lagi, dua dewan bedah sedia ada agak sesak untuk menampung keperluan, memandangkan ada pesakit datang jauh dari Lawas dan Ulu Baram untuk menjalani pembedahan atau rawatan susulan yang memerlukan pembedahan di sini.

Menjelas lanjut, beliau memberitahu bahawa jika kedua-dua dewan bedah tersebut siap sepenuhnya kelak, ia akan membantu mengurangkan kesesakan dan waktu menunggu bagi para pesakit yang sedang menunggu giliran untuk menjalani pembedahan.

Contoh paling jelas katanya, ketika bekalan kuasa terputus baru-baru ini di Hospital Miri, pesakit sepatutnya menjalankan pembedahan dan memerlukan rawatan lanjut terpaksa dipindah ke hospital swasta.

“Sebaliknya jika kedua-dua bilik bedah tersebut sudah siap dan kita mempunyai tambahan atau alternatif kecemasan untuk memastikan operasi atau pembedahan serta rawatan untuk pesakit kritikal dan kecemasan kekal berfungsi, maka tidak timbul masalah sekiranya bekalan kuasa terputus lagi,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa kementerian mempercepatkan pembinaan kedua-dua dewan bedah berkenaan dan pada masa yang sama, menyiasat punca kelewatan.

Mengulas mengenai perkhidmatan lif dan pendingin hawa yang kerap bermasalah, Dr Teo turut meminta pihak berkuasa hospital agar meneliti perkara itu dengan segera kerana ia turut menimbulkan banyak masalah, terutama kepada pelawat dan pesakit yang ditahan lanjut untuk rawatan di hospital berkenaan.

Katanya bagi mengelakkan hospital dan kerajaan berbelanja lebih untuk memperbaiki pendingin hawa tersebut, kontraktor utama perlu melakukan penyelenggaraan sendiri tanpa memberikan tugasan tersebut kepada pihak atau kontraktor lain sehingga kos membaiki menjadi berganda.

Dalam perkembangan lain, Dr Teo turut melahirkan kebimbangan orang ramai, khususnya pesakit atau penghuni wad di hospital tersebut, mengadu bahawa wad pesakit tibi sebelum ini ditempatkan di Tanjung Lobang kini sudah dipindahkan ke Hospital Miri, sekali gus mendedahkan mereka dengan jangkitan tersebut.

Katanya tapak bagi pusat rawatan atau wad pesakit tibi dan kakitangan pengurusan yang sebelum ini terletak di sebuah bangunan lain di Tanjung Lobang, akan diambil alih oleh pihak swasta, menyebabkan ia terpaksa berpindah ke Hospital Miri.

LikeTweet

Source: http://miri.my/2016/09/01/percepat-bina-dewan-bedah-baharu-tampung-kesesakan-hospital-miri/