Perbicaraan kes kerani akaun pecah amanah 16 Disember

MIRI: Mahkamah Majistret di sini semalam menetapkan 16 Disember depan perbicaraan kes seorang kerani akaun sebuah klinik menghadapi 11 tuduhan pecah amanah jenayah membabitkan cek bernilai RM38,572.45.

Manakala tertuduh diperintahkan supaya ditahan lanjut di Penjara Pusat Lambir sementara menunggu tarikh tersebut.

Sa’adiah Kedri, 41, dari Jalan Terusan 6, Pujut 4 di sini dituduh atas 11 kesalahan pecah amanah jenayah mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan.

Mengikut kesalahan ini, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak melebihi 14 tahun dan boleh disebat serta denda jika sabit kesalahan bagi setiap tuduhan dihadapi.

Berdasarkan pertuduhan kes, tertuduh sebagai seorang kerani akaun diamanahkan 11 keping cek bernilai RM38,572.45 milik klinik tempatnya bekerja dan semua cek itu dimasukkan tertuduh ke dalam akaun peribadinya untuk tujuan kegunaan sendiri.

Semua kesalahan itu didakwa dilakukan tertuduh antara 9 April hingga 8 September tahun ini di Klinik Indah Permy, Pusat Bandar, Bandar Baru Permyjaya di sini.

LikeTweet

Source: http://miri.my/2015/11/18/perbicaraan-kes-kerani-akaun-pecah-amanah-16-disember/