Penyelenggaraan rutin pasti Taman Awam kekal selamat

MIRI: Taman Awam di Jalan Miri-Airport dikunjungi umum hampir dua dekad, memerlukan kerja penyelenggaran rutin memastikan kemudahan berada di tahap selamat.

Dibuka pada 1998, ia merupakan antara taman popular di sini khasnya untuk aktiviti riadah, bersenam dan berjoging.

Antara tarikan utamanya ialah menara kayu dihubungkan dengan jambatan gantung dan taman air kanak-kanak.

Ditemui pemberita semalam, Datuk Bandar, Adam Yii berkata, keselamatan pengunjung adalah keutamaan agar taman terus kekal sebagai taman popular di sini.

“Kita akan lakukan penyelenggeraan rutin di taman ini untuk keselamatan pengunjung dan memastikan kemudahan yang ada terus bertahan (tidak rosak), “ katanya.

Mengulas lanjut tentang aspek keselamatan, Adam menasihatkan pengunjung agar berhati-hati melihat kepada faktor taman yang luas.

Taman kerap dikunjungi pada waktu petang khasnya selepas waktu bekerja untuk berjoging dan bersenam.

Pengunjung juga dinasihat untuk menjaga kebersihan taman agar kelihatan elok di mata pengunjung luar dan pelancong.

Selain Taman Awam, turut popular di bandar ini ialah Dataran Kipas Miri dan Taman Bulatan Piasau.

Adam ditemui selepas aktiviti menanam 52 anak pokok spesies bunga tanjung di kaki bukit taman yang turut disertai kaunselor dan kakitangan Majlis Bandaraya Miri (MBM).

“Hari ini kita bergotong-royong, menanam anak pokok. Ia juga Hari Keluarga kita,’ katanya lanjut mengenai aktiviti yang diadakan seawal jam 7 pagi disertai 200 kakitangan dan ahli keluarga.

Aktiviti dimulakan dengan senaman aerobik dan poco-poco untuk memanaskan badan sebelum melakukan kerja-kerja mencantikkan taman.

Kemuncak aktiviti ialah mengecat anak tangga di jejantas menghubungi taman awam dengan kawasan bukit di seberang jalan yang juga popular sebagai tempat joging pada waktu petang.

Anak tangga dicantikan dengan 10 warna cat untuk menyerupai warna pelangi.

MBM sedang mengadakan perbincangan dengan pihak pengurusan Beach Republic di Luak untuk membenarkan kakitangan menggunakan kemudahan di kelab rekreasi itu.

“Sekarang kita tidak mempunyai kemudahan lengkap untuk kegunaan kakitangan. Jika berbincang dengan pihak Beach Republic agar dapat membantu kita dalam hal ini, “ katanya.

Kelab memiliki gimnasium, kolam renang, gelanggang badminton dan bola keranjang.

Terletak di hadapan pantai, ia juga popular untuk sukan bola jaring pantai dan bola pantai.

LikeTweet

Source: http://miri.my/2016/09/03/penyelenggaraan-rutin-pasti-taman-awam-kekal-selamat/