Penjual ayam cedera diragut

MIRI: Bukan hanya kehilangan wang tunai, seorang peniaga wanita juga pengsan selepas diragut dua lelaki berhampiran Pasar Utama Miri di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian jam 5 pagi itu, mangsa berusia 55 tahun pengsan selepas diseret suspek kemudian mengambil beg sandang milik wanita itu yang mengandungi wang tunai RM1,500.

Menurut sumber, kedua-dua suspek yang menaiki motosikal meragut mangsa dari arah belakang mengakibatkan mangsa terhentak dan terseret di atas jalan lalu pengsan.

Sumber itu berkata, kejadian berlaku ketika mangsa mahu memulakan perniagaan menjual ayam di pasar itu.

“Mangsa tidak sedarkan diri selama lebih 5 minit sebelum mangsa diselamatkan orang ramai dan peniaga berhampiran kawasan itu,” katanya.

Kata sumber itu lagi, selain wang tunai, barangan lain di dalam beg sandang mangsa antaranya telefon, dokumen pengenalan diri dan lesen perniagaan.

“Mangsa kemudiannya membuat laporan polis di Balai Polis Pusat Miri berhubung kejadian itu,” katanya.

Sementara itu, jurucakap polis mengesahkan kejadian itu dan kes sedang disiasat.

Source: https://www.bharian.com.my/berita/kes/2018/06/433861/penjual-ayam-cedera-diragut