Penjagaan paliatif tanggungjawab bersama, kata Dr Richard Lim

MIRI: Tanggungjawab mewujudkan kesedaran dan mempromosi penjagaan paliatif di negara ini tidak harus diserah sepenuhnya kepada doktor dan jururawat semata-mata sebaliknya orang awam harus memainkan peranan bersama-sama.

Pengerusi Majlis Hospis Malaysia merangkap Penasihat Kebangsaan Penjagaan Paliatif di Kementerian Kesihatan Dr Richard Lim Boon Leong berkata banyak usaha perlu dilakukan untuk meningkatkan kesedaran orang awam mengenai penjagaan paliatif memandangkan masih ramai tidak mengetahui tentang perkara ini.

“Masih ramai tidak mengerti apa itu penjagaan paliatif (PC). Apa yang mereka faham apabila seseorang itu menghidap penyakit kronik, tiada apa dapat dilakukan bagi membantu mereka.

“PC sebenarnya memberi tumpuan kepada kehidupan dan membantu para pesakit kronik menjalani kehidupan yang lebih berkualiti sebelum menghembus nafas terakhir dan itulah yang lebih penting,” katanya.

Beliau memberitahu demikian ketika ditemui selepas menyampaikan ceramah tentang ‘Kanser dan Penjagaan Paliatif’ kepada lebih 100 doktor dan jururawat pada mesyuarat saintifik pramesyuarat agung tahunan Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) di sebuah hotel terkemuka di sini, semalam.

Sehubungan itu, Dr Richard menegaskan bahawa setiap orang termasuk doktor dan jururawat harus faham apa sebenarnya PC untuk memastikan mereka yang memerlukan bantuan dapat diberikan rawatan sewajarnya untuk mengurangkan tekanan, ketakutan dan kebimbangan terhadap penyakit yang mereka hidapi.

Katanya memandangkan kewujudan PC masih baharu, ramai pesakit yang berasa takut untuk mendapatkan bantuan.

Lebih menyedihkan tambah beliau, apabila terdapat segelintir doktor tidak biasa dengan situasi ini, jadi mereka tidak dapat membantu pesakit menangani perasaan takut apabila disah menghidap sesuatu penyakit kronik atau membuat sebarang keputusan tentang rawatan perlu diberikan kepada pesakit datang berubat.

Dalam pada itu menurut Dr Richard, setakat ini hanya terdapat seramai 18 pakar dalam penjagaan paliatif di seluruh negara dan jumlah ini amat sedikit.

“Kita telah mula melatih pakar PC sejak 2005 namun jumlah yang kita ada sekarang amat sedikit dan daripada jumlah itu, tiada seorang pun di Sarawak.

“Justeru kita berharap lebih ramai doktor yang pakar dalam perubatan am dapat menjalani kursus khas PC selama tiga tahun untuk membolehkan setiap negeri di Malaysia mempunyai sekurang-kurangnya seorang pakar dalam PC dalam tempoh terdekat ini,” ujarnya.

Sementara itu katanya, daripada 28 pusat PC terdapat di seluruh negara setakat ini, 27 daripadanya diwujudkan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk membantu para pesakit yang menghidap penyakit kronik seperti kanser.

Daripada jumlah itu katanya, empat diwujudkan di Sarawak termasuk sebuah di Miri.

Justeru Miri amat bertuah kerana Persatuan Penjagaan Paliatif Miri (PCAM) menyediakan perkhidmatan percuma di samping khidmat jururawat yang melawat pesakit ke rumah sebagai tanda sokongan moral dan kaunseling dalam membantu meningkat kualiti hidup pesakit terbabit.

Ketika ditanya apakah perancangan dapat membantu meningkatkan kesedaran tentang PC di Sarawak, Dr Richard berkata Kementerian Kesihatan kini sedang berusaha mewujudkan perkhidmatan pusat tersebut di beberapa klinik kesihatan termasuk di luar bandar.

Pada masa sama, pengetahuan mengenai PC dalam kalangan doktor dan jururawat akan dipertingkat agar dapat memberi perkhidmatan lebih efektif kepada pesakit terbabit.

“Kebanyakan pusat PC yang diwujudkan pihak NGO tertumpu di kawasan bandar dan keadaan ini menyukarkan pesakit tinggal di kawasan pedalaman mendapatkan bantuan.

“Tambahan ramai doktor dan jururawat ditugaskan di kawasan pedalaman tidak mempunyai pengetahuan yang luas tentang perkara ini.

“Sehubungan itu, saya berharap matlamat kita untuk mewujudkan perkhidmatan pusat PC di klinik kerajan termasuk yang terdapat di kawasan pedalaman suatu hari nanti turut dapat mambantu pesakit di pedalaman,” katanya.

Hadir sama Pengerusi Persatuan Kanser Kebangsaan (Cawangan Sarawak) Dr Lam Chin Chyou dan Presiden PCAM Dr Loh Yunn Hua.

LikeTweet

Source: http://miri.my/2016/05/26/penjagaan-paliatif-tanggungjawab-bersama-kata-dr-richard-lim/