Peniaga diberi amaran jangan naik harga barangan kawalan

MIRI: Peniaga diingat agar tidak menaikkan harga barangan kawalan sesuka hati melebihi harga maksimum ditetap kerajaan atau berdepan tindakan undang-undang.

Ketua Cawangan Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Miri Alexander Averon Suwin berkata, pihaknya tidak akan teragak-agak mengambil tindakan terhadap mana-mana peniaga didapati mengamalkan sikap tidak beretika dalam perniagaan.

“Pegawai penguat kuasa dan Pegawai Pemantau Harga (PPH) akan sentiasa turun padang memantau situasi beberapa lokasi yang menjadi tumpuan orang ramai membeli-belah seperti pasar raya, tamu dan sebagainya di sekitar kawasan Miri termasuk Bekenu, Batu Niah dan Marudi.

“Pemantauan ini dilakukan bukan bertujuan mencari kesalahan peniaga tetapi mewajibkan mereka meletak tanda harga pada semua barangan jualan bagi kemudahan pengguna ketika membeli-belah,” ujar beliau.

Justeru, kata Alexander sekiranya ada peniaga barangan harga terkawal didapati ingkar, mereka boleh didakwa mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 yang memperuntukkan denda RM100,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali, bagi kesalahan yang dilakukan individu.

Manakala bagi kesalahan dilakukan oleh pihak syarikat atau pertubuhan, boleh dikenakan denda sehingga RM500,000 atau dikompaun sehingga RM250,000.

Beliau memberitahu demikian semasa mengumumkan penetapan harga maksimum borong dan runcit barang-barang harga terkawal Skim Kawalan Harga Musim Perayaan (SKHMP) Hari Raya Puasa 2016 bagi peringkat bahagian Miri yang diadakan di sini, semalam.

Selain itu menurut Alexander, para peniaga yang menjual barangan harga terkawal diingatkan agar meletakkan tanda harga berwarna merah jambu ke atas barangan tersebut untuk membezakannya dengan barang-barang lain.

“Kegagalan berbuat demikian boleh menyebabkan mereka didenda sehingga RM10,000 untuk kesalahan yang dilakukan individu dan RM20,000 untuk pertubuhan perbadanan atau syarikat,” jelas beliau.

Dalam pada itu katanya, pada musim perayaan kali ini sebanyak 21 jenis barang telah diletak di bawah skim kawalan harga musim perayaan bertujuan mengurangkan beban orang ramai semasa membeli-belah barang keperluan sempena musim perayaan Hari Raya Puasa tahun ini.

Ia terdiri daripada ayam hidup (RM6.70/kg untuk harga runcit dan RM6/kg untuk harga borong), ayam standard (disembelih dan dibersihkan berserta kaki, kepala, hati dan hempedal) pada harga RM8.50/RM7.60 kg, ayam super (disembelih dan dibersihkan tanpa kaki, kepala, hati dan hempedal) – RM9.50/ RM8.50, daging lembu import (RM25/RM22 per kg), telur ayam Gred A (RM0.37/RM0.35 sebiji), telur ayam Gred B (RM0.36 /RM0.34 sebiji) dan telur ayam Gred C (RM0.35 /RM0.33sebiji).

Manakala cili merah – RM15/RM13 per kg, tomato – RM7/RM6 per kg, kubis bulat import – RM4/ RM3 per kg, kelapa biji – RM1.50 sebiji, kelapa parut – RM4.50 per kg, bawang merah kecil (India) – RM7/RM6 per kg, bawang besar import – RM4.50/RM3.50 per kg, bawang putih (China) – RM11.50/RM10.50 per kg, ubi kentang import (China) – RM4/RM3 per kg, ikan kembung termasuk ikan mabung (berat antara tujuh hingga 10 ekor sekilogram) – RM10/RM9 per kg dan ikan selayang (berat antara tujuh hingga 10 ekor sekilogram) – RM7/ RM5 per kg.

Sementara itu menurut Alexander, bekalan untuk ayam daging, lembu dan kelapa biji adalah mencukupi untuk kegunaan semasa bulan puasa dan Hari Raya.

“Justeru orang ramai dinasihati tidak perlu risau kerana bekalan barangan tersebut mencukupi sepanjang bulan puasa hingga Hari Raya kelak,” katanya.

LikeTweet

Source: http://miri.my/2016/06/16/peniaga-diberi-amaran-jangan-naik-harga-barangan-kawalan/