Peniaga Dayak perlu bantuan kewangan dan kursus

Oleh Clare Cinderella//

MIRI: Persatuan Gagasan Anak Dayak Sarawak (GADS) berharap agensi dan badan berkaitan pembangunan usahawan serta ekonomi bersedia tampil membantu dari segi kewangan dan kursus perniagaan untuk peniaga kaum Dayak khususnya peserta Bazar Gawai Dayak (BGD).

Presiden GADS Vicky Gulin Shandom berkata, peniaga Dayak memerlukan banyak bimbingan dan bantuan kewangan bagi memberi galakan kepada mereka untuk terus berkembang dalam bidang perniagaan disertai.

“Saya amat berharap dan memohon kepada agensi kerajaan seperti Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB), Majlis Amanah Rakyat (MARA), Tabung Ekonomi Kumpulan Usahawan Niaga (TEKUN) Nasional, Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) serta Majlis Pembangunan Usahawan Bumiputera (MPUB) Jabatan Ketua Menteri memberi bantuan dari segi peruntukan dan kursus perniagaan kepada peserta BGD sebagai mana yang disalur kepada peniaga bazar Ramadan pada setiap tahun.

“Peruntukan kecil ini diyakini dapat membantu peserta dengan menjadikan ia ‘modal pusingan awal’ bagi menyediakan lebih banyak produk untuk dijual kepada pengunjung,” katanya.

Berucap pada Majlis Penangguhan BGD 2016 Miri yang berakhir malam kelmarin selepas berlangsung selama 15 hari bermula 10 Mei lalu, Vicky turut mengumumkan bahawa BGD untuk 2017 akan datang akan kembali dianjurkan semula di tapak yang sama – tempat letak kereta kompleks beli-belah Permymall (Permymall) di sini, juga pada bulan Mei.

“Penganjuran berterusan ini amat diperlukan kerana GADS mahu memastikan objektif utama persatuan ini untuk melihat penglibatan masyarakat Dayak dalam aktiviti perniagaan dapat dipupuk bermula dengan GDB.

“Di samping itu, ia bertujuan terus memupuk perpaduan di kalangan masyarakat Dayak melalui perniagaan,” jelas beliau sambil melahirkan rasa bangga pihak GADS kerana usaha itu telah memastikan peserta memperoleh rezeki dan sumber pendapatan sampingan terutama bagi meraikan sambutan Hari Gawai Dayak tahun ini.

Sementara itu, wakil peserta Bazar Gawai Dayak Pirit Assan berharap agar acara tersebut diteruskan dan dianjurkan di tapak sedia ada iaitu pekarangan letak kereta.

Katanya lokasi tersebut bukan sahaja strategik, malah kerjasama yang diberikan oleh pihak pengurusan Permymall juga amat baik dan meyakinkan mereka bahawa penganjuran tersebut akan lebih berjaya jika Permymall menjadi tapak tetap bagi penganjuran bazar berkenaan.

“Hasil maklum balas daripada para peserta bazar juga mahu agar program seperti pertandingan Kumang Gawai kanak-kanak dan perarakan Gawai Dayak patut diteruskan pada setiap tahun di bazar ini kerana ia mampu menjadi tarikan utama pengunjung,” katanya.

Pada masa yang sama Pirit turut meminta jawatankuasa penganjur mengadakan lebih banyak program sepanjang bazar tersebut, pada tahun depan bagi menarik lebih ramai pengunjung ke bazar berkenaan.

LikeTweet

Source: http://miri.my/2016/05/28/peniaga-dayak-perlu-bantuan-kewangan-dan-kursus/