Penganjuran aktiviti pertingkat semangat kerjasama kejiranan

MIRI: Seramai 73 kanak-kanak berumur enam hingga 12 tahun telah menyertai pertandingan menyanyi lagu Cina sempena Tahun Baharu Cina bertempat di pusat beli-belah Boulevard, di sini semalam.

Pertandingan anjuran bersama Rukun Tetangga Kawasan Krokop dan pusat beli-belah Boulevard disempurnakan Menteri Muda Perhubungan Datuk Lee Kim Shin.

Lee dalam ucapan aluannya memuji usaha penganjuran dalam membuka peluang kepada kanak-kanak turut serta dalam aktiviti sedemikian.

“Kita bukan sahaja mampu merapatkan hubungan dan semangat bekerjasama jiran tetangga bahkan membuka ruang kepada kanak-kanak mengetengahkan bakat,” jelasnya.

Menurut Lee, peluang turut dibuka kepada kanak-kanak kaum lain fasih dalam bahasa Cina khususnya mereka bersekolah di aliran Cina.

Katanya, sekolah rendah aliran Cina sekitar Miri masing-masing mempunyai bilangan pelajar kaum lain dalam kelas.

“Seperti sekolah Cina yang ada di Tudan, lebih 60 peratus pelajar majoritinya adalah Bumiputera, sekolah Cina di kawasan Lutong mempunyai lebih 50 peratus kaum lain sementara sekolah lain masing-masing dalam purata lebih 20 hingga 30 peratus pelajarnya adalah Bumiputera.

“Ini menunjukkan masyarakat kita berbilang kaum di sini memilih menguasai bahasa Cina untuk anak masing-masing,” katanya.

Jelasnya, kerajaan perlu membuka peluang kepada mereka turut serta dalam pertandingan nyanyian yang bukan sahaja untuk mengasah bakat, malah turut meningkatkan kemahiran mereka dalam bahasa Cina.

Mengulas mengenai RT Kawasan Krokop berkenaan, Lee juga Ahli Dewan Undangan Negeri Senadin berkata, jawatankuasa RT terbabit perlu kerap menganjurkan perlbagai aktiviti bagi disertai masyarakat di sekitar perumahan.

Selain itu juga tambah Lee, semangat kejiranan dan komunikasi dapat dipertingkatkan melalui aktiviti terbabit.

Hadir sama ialah Pengerusi RT Kawasan Krokop merangkap Pengerusi Penganjur, Vincent Huang Huat Choon.

LikeTweet

Source: http://miri.my/2016/02/20/penganjuran-aktiviti-pertingkat-semangat-kerjasama-kejiranan/