Penganggur tinggal melebihi tempoh dipenjara

MIRI: Seorang penganggur warga asing dijatuhi hukuman penjara tiga bulan oleh Mahkamah Sesyen semalam kerana kesalahan tinggal di negeri ini melebihi tempoh sah dibenarkan.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dirujuk ke Jabatan Imigresen untuk tujuan pengusiran sebaik selesai menjalani hukuman penjara kelak.

Sunarno, 45, dari Jawa Timur, Indonesia telah didakwa mengikut Seksyen 15 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) dan dihukum di bawah Seksyen 15 (4) akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh didenda RM10,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Menurut keterangan kes, Sunarno telah ditahan pada jam 12.03 pagi, 15 Mei lalu di sebuah lot di Jalan Miri-Pujut untuk tujuan pemeriksaan kerana dipercayai warga asing.

Hasil pemeriksaan mendapati tertuduh yang berasal dari Bandung, Indonesia masih tinggal di sini setelah pas lawatan sosial yang dikeluarkan kepadanya tamat tempoh sah.

LikeTweet

Source: http://miri.my/2016/05/21/penganggur-tinggal-melebihi-tempoh-dipenjara/