Penganggur direman kerana disyaki curi tong gas

MIRI: Seorang penganggur yang diberkas kerana disyaki terbabit dalam kes curi sebuah tong gas kepunyaan seorang lelaki lain diperintahkan Mahkamah Majistret petang semalam supaya direman tiga hari untuk membantu siasatan lanjut polis.

Suspek, 21, dari Desa Pujut 2, Bandar Baru Permyjaya di sini diperintahkan menjalani reman itu di lokap Balai Polis Pusat Miri mengikut peruntukan Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.

Menurut keterangan penolong pegawai penyiasat Sarjan Zainal Abidin Ahmad, suspek yang merupakan suspek kedua dalam kes ini telah diberkas polis sekitar jam 5 petang, 29 Disember lalu di hadapan sebuah rumah di Lorong Desa Pujut 2G, Bandar Baru Permyjaya.

Tangkapan ke atas suspek dibuat hasil maklumat yang diperolehi dari suspek pertama yang merupakan anak angkat kepada pengadu dalam kes ini.

Selain itu, suspek terbabit juga merupakan pemilik dan pemandu kereta Perodua Kancil yang digunakan dalam kes ini.

Berikutan tangkapan itu, suspek telah dibawa ke Balai Polis Pusat Miri untuk tindakan lanjut.

Berdasarkan permohonan reman terdahulu, Zainal memberitahu pada 28 Disember lalu, seorang lelaki telah membuat laporan di Balai Polis Lutong berhubung kecurian sebuah tong gas berwarna kuning oleh anak angkatnya sendiri.

Dalam aduannya, pengadu mendakwa sekitar jam 3.30 petang, beliau telah dihubungi oleh seorang jiran yang ternampak anak angkatnya membawa sebuah tong gas berwarna kuning dan memasukkannya ke dalam sebuah kereta Perodua Kancil berwarna putih yang turut dinaiki bersama tiga orang yang lain.

Suspek pertama telah ditangkap pada jam 5.45 petang, 28 Disember lalu dan kini sedang direman enam hari sehingga 4 Januari depan.

Pendaftar Mahkamah Rendah Nuur Hafiza Yatim hanya membenarkan reman tiga hari ke atas suspek kedua ini dan tempoh reman akan tamat pada 2 Januari depan.

LikeTweet

Source: http://miri.my/2015/12/30/penganggur-direman-kerana-disyaki-curi-tong-gas/