Pengambilan mata pelajaran Sains di sekolah menurun 20 peratus

MIRI: Kementerian Sains,Teknologi dan Inovasi (MOSTI) mendapati pengambilan mata pelajaran Sains di sekolah telah menurun 20 peratus dan perkara ini amat membimbangkan.

Menterinya Datuk Seri Panglima Madius Tangau berkata menjadi tanggungjawab semua pihak termasuk ibu bapa dan guru mempromosi serta menggalakkan pengambilan mata pelajaran Sains.

“Jumlah pengambilan mata pelajaran Sains menurun 20 peratus daripada sasaran kita untuk mencapai 60 peratus pada 2020.

“Angka ini amat membimbang dan memerlukan promosi untuk subjek Sains,” katanya ketika merasmikan Sambutan Hari Meteorologi Sedunia 2016, Pejabat Meteorologi dan Stesen Radar Meteorologi Miri, semalam.

Madius berkata usaha mempromosi serta membudaya bidang sains perlu dimulakan di peringkat akar umbi termasuk membudaya bidang itu kepada pegawai dan kakitangan MOSTI.

“Kita mendapati bidang sains mampu mewujudkan peluang pekerjaan seperti keusahawanan dan kerajaan telah membantu syarikat aktif dalam sains seperti teknologi nano,” jelasnya.

Menurutnya, kekurangan pengambilan subjek Sains juga kemungkinan menyebabkan negara kekurangan saintis pada masa akan datang.

“Kita melihat potensi sains ini telah membantu melahirkan ramai usahawan khasnya dalam mereka cipta teknologi bagi kegunaan harian.

“Salah satu contohnya ialah penglibatan sains dalam pembedahan autopsi,” katanya.

Sehubungan itu katanya, semua pelajar harus melihat potensi sains dalam mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan perniagaan serta berani mengambil risiko mendalami ilmu sains.

LikeTweet

Source: http://miri.my/2016/03/24/pengambilan-mata-pelajaran-sains-di-sekolah-menurun-20-peratus/