Pengalaman cemas naiki helikopter di laluan Kuching-Betong

ANGGOTA bomba menunjukkan serpihan helikopter malang yang dijumpai pasukan mencari dan penyelamat pagi tadi. – Foto bomba

KUCHING: Insiden sebuah helikopter hilang ketika dalam penerbangan dari Betong ke Kuching semalam sebelum ditemui terhempas di kawasan Batang Lupar hari ini, mengingatkan tentang pengalaman cemas penulis menaiki helikopter menggunakan laluan sama Selasa lalu, dalam tugas membuat liputan berita.

Menaiki sebuah helikopter Nuri yang mengiringi rombongan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di dalam helikopter lain dalam perjalanan dari Kuching ke Betong, kira-kira 250 km dari sini, penulis merasai sendiri keadaan “terumbang-ambing di udara”.

Kejadian berlaku kira-kira 10.30 pagi, setengah jam selepas helikopter itu berlepas dalam cuaca yang baik, namun hujan lebat di pertengahan perjalanan menyebabkan helikopter terbuai turun naik seperti bot dilanda gelombang ombak kuat, malah dapat dirasakan pesawat itu dua kali berpusing dipukul angin.

Rasa cemas dan takut dengan situasi itu dapat dilihat pada wajah penumpang lain di dalam pesawat itu.

Ada 13 penumpang semuanya termasuk dua daripada media, seorang pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan yang lain anggota rombongan Timbalan Perdana Menteri.

Ada yang membaca ayat suci Al-Quran, mengucap, malah boleh didengar ada yang melaungkan Azan, menggambarkan keadaan cemas di udara yang berlarutan lebih 40 minit.

Bayangan helikopter yang kami naiki akan terhempas berlegar-legar dalam fikiran penulis.

Perasaan menjadi lega seketika apabila helikopter tiba di destinasi iaitu di Dewan Sukan Datuk Amar Stephen Kalong, tetapi satu lagi cabaran dihadapi bila helikopter gagal mendarat selepas tiga kali mencuba.

Keadaan ini memaksa juruterbang untuk terus ke lokasi di majlis kedua iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Beladin, hanya 10 minit dengan helikopter tetapi boleh memakan masa hampir dua jam dengan perjalanan darat.

Sebaik dapat mendarat, penulis mendapatkan penjelasan daripada juruterbang dan pembantu juruterbang helikopter Nuri itu.

Bagi mereka, ada pengalaman yang lebih menakutkan yang pernah mereka alami dan mereka turut mengakui helikopter itu memang dalam situasi bahaya, tetapi pengetahuan tentang selok-belok laluan di situ menjadi satu kelebihan kepada mereka.

“Situasi itu sebenarnya bahaya dan memang helikopter ini terperangkap dalam cuaca buruk, mujur saya ada pembantu juruterbang yang berpengalaman, sedangkan kalau ikut jadual asal pembantu juruterbang adalah orang baharu,” kata juruterbang itu yang berpengalaman 20 tahun menerbangkan helikopter Nuri.

Hari ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata serpihan helikopter yang hilang semalam itu membawa Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Noriah Kasnon dan empat penumpang lain itu telah dijumpai bersebelahan Sungai Batang Lupar.

JENAZAH mangsa nahas helikopter tiba di Padang Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak. Jenazah kemudian dibawa ke unit forensik Hospital Umum Sarawak bagi pengurusan jenazah. – Foto Muhd Zaaba Zakeria

Selain Noriah, turut berada di dalam helikopter AS350 itu adalah suami beliau Asmuni Abdullah, Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad, Ketua Setiausaha Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Sundaran Annamalai, pengawal peribadi Noriah, Ahmad Sobri Harun dan juruterbang warga Filipina, Rudolf Rex Ragas.

Helikopter itu berlepas dari Betong pada 4.12 petang dan sepatutnya tiba di Kuching sekitar 5 petang.

Bagi penulis, menaiki helikopter sewaktu kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-11 kali ini memang menakutkan kerana pesawat terpaksa terbang dalam keadaan cuaca buruk dan hujan lebat.

Pada 29 April lalu, penulis sepatutnya menaiki helikopter mengikut rombongan Timbalan Perdana Menteri dari Miri ke Telang Usan, tetapi kerana faktor cuaca, Ahmad Zahid memilih laluan darat selama lebih dua jam, sejauh kira-kira 140 km, sebelum menaiki helikopter Eurocopter Cougar EC725 dari Telang Usan ke tempat lain selepas cuaca semakin baik.

Keesokannya, penulis mengikuti rombongan yang sama ke Ba’Kelalan, satu kawasan tanah tinggi kira-kira 910 meter dari aras laut, dan satu lagi kawasan tanah tinggi iaitu Bario dengan menaiki EC725.

Perjalanan waktu pagi ke Ba’Kelalan dalam keadaan cuaca berkabus tebal dan hujan, juruterbang terpaksa berpusing-pusing mencari laluan yang selamat.

Kesan daripada perjalanan jauh itu, sebuah helikopter yang membawa pegawai-pegawai yang mengiringi rombongan timbalan perdana menteri tidak mempunyai cukup minyak untuk terbang dari Bario ke Miri.

Juruterbang terpaksa menunggu minyak dihantar mengikut jalan darat untuk diisi ke dalam helikopter itu sebelum dapat meneruskan perjalanan. – BERNAMA

LikeTweet

Source: http://miri.my/2016/05/06/pengalaman-cemas-naiki-helikopter-di-laluan-kuching-betong/