Penerapan nilai murni pelajar sama penting pencapaian akademik

MIRI: Penerapan nilai-nilai murni kalangan pelajar sama pentingnya dengan pencapaian akademik mereka ketika menuntut di sekolah.

Calon Barisan Nasional (BN) kerusi DUN Piasau, Datuk Sebastian Ting berkata tugas tersebut tidak seharusnya dibebankan oleh guru-guru tetapi juga ibu bapa ketika bersama anak-anak mereka di rumah.

“Ibu bapa adalah contoh terbaik menjadi ikutan kepada anak-anak ketika di rumah. Justeru, sebagai ibu bapa kita harus memberi contoh baik kepada anak-anak,” katanya ketika menemui ibu bapa, guru-guru dan pelajar SM Sains Miri semasa Hari Pelanggan sekolah itu pagi semalam.

Pengerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Piasau itu turut menekankan kerjasama ibu bapa dan guru-guru menggerakkan peranan Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG).

Kerjasama utuh antara ibu bapa dan sekolah juga akan mewujudkan persekitaran pembelajaran kondusif dan memberangsangkan kepada pelajar-pelajar melakukan yang terbaik dalam pelajaran mereka.

Yang Dipertua PIBG SM Sains Miri, Sapri Paee berpuas hati dengan kehadiran menggalakkan ibu bapa sekali gus menunjukkan komitmen mereka terhadap sekolah dan pencapaian akademik anak-anak.

“Kehadiran ibu bapa begitu bermakna untuk sekolah dan sokongan membantu sekolah menjayakan aspirasi dan program-program,” jelasnya.

Pengetua SM Sains Miri, Mohd Dzul Badzli Abdullah berkata Hari Pelanggan adalah dikhaskan untuk pelajar-pelajar tingkatan satu, dua dan empat yang memberi peluang kepada ibu bapa menemui guru-guru tentang pencapaian anak-anak mereka.

Ibu bapa juga berpeluang mengunjungi Karnival Sains dan Teknologi diadakan sempena sambutan bulan sains dan teknologi. Mereka juga dibenarkan melawat asrama pelajar.

Hadir sama Penolong Kanan Satu SM Sains Miri, Haslinda Jedi dan Ketua Kelab Sosial Ibu Bapa (KSIB), Hanim Sherbini.

LikeTweet

Source: http://miri.my/2016/04/16/penerapan-nilai-murni-pelajar-sama-penting-pencapaian-akademik/