Penduduk mohon kerajaan naik taraf laluan masuk ke kampung

MIRI: Penduduk Kampung Seberang Pujut Tanjong Batu di sini memohon kerjasama kerajaan menaik taraf laluan masuk ke kediaman mereka.

Penduduk sekarang menggunakan jalan tanah untuk keluar masuk ke jambatan yang terletak berdekatan dengan jalan penghubung Pujut-Permyjaya.

Ketika musim hujan, penduduk berdepan dengan masalah tanah becak dan lumpur sekali gus memberi masalah kepada pengguna kenderaan.

Seorang penduduk, Kadzar Jeman, 61, berkata jalan tanah dibina atas inisiatif penduduk bagi memudahkan mereka keluar ke pusat bandar.

Bagaimanapun, ia hanya laluan sementara kerana dibina melalui tanah persendirian.

Kita takut laluan ini akan ditutup kerana kita membinanya di atas tanah orang, katanya di sini semalam.

Untuk pengetahuan umum, Kampung Seberang terletak di seberang sungai Kampung Pujut Tanjong Batu di sini.

Sekarang dianggarkan 18 keluarga masih mendiami Kampung Seberang dan sebahagian besar mereka adalah kaum Jatti Meirek.

Sebelum terbinanya jalan penghubung Pujut-Permyjaya yang terletak di sebelah belakang kampung itu, penduduk menggunakan perahu berulang-alik ke Pujut.

Setelah jalan tersebut siap, penduduk membina laluan sementara iaitu jalan sedia ada sejauh 300 meter.

Jalan tanah dan jalan penghubung itu dihubungkan dengan sebuah jambatan kayu yang dibina oleh penduduk.

Jambatan sementara itu terletak lebih 200 meter di sebelah kiri dari arah menuju Permyjaya.

Jambatan kampung digunakan lebih dua tahun lalu sejak adanya projek pembinaan jalan penghubung itu, jelas Kadzar.

Bagaimanapun, jambatan berkenaan runtuh kerana dilalui kenderaan berat dua bulan lalu memaksa penduduk membina sebuah jambatan kayu baharu.

Masalah jambatan itu diajukan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin, Datuk Lee Kim Shin yang mengarahkan agar jambatan lebih kukuh dibina untuk penduduk.

Lee dibawa melawat keadaan jambatan itu serta menemui penduduk kampung semasa sesi pemimpin bersama penduduk anjuran Wanita PBB kampung itu pagi semalam.

Jambatan dan jalan itu adalah sementara. Jambatan yang kita bina adalah lebih selamat dengan turut meletakkan pembentung. Kita akan cari jalan membantu penduduk memiliki jalan lebih baik, kata Lee.

Hadir sama Ketua Kaum Usman Sulaiman, Pengerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Piasau Datuk Sebastian Ting dan Pengerusi SUPP Pujut Adam Yii, Ketua Wanita PBB Kampung Seberang, Rosiah Ali dan Pengerusi Rukun Tetangga, Ishak Baijuri.

Source: http://www.theborneopost.com/2015/04/04/penduduk-mohon-kerajaan-naik-taraf-laluan-masuk-ke-kampung/