Penduduk luar bandar diingat sokong pemimpin masyarakat

MIRI: Penduduk luar bandar diingat memberi sokongan padu bukan sahaja kepada ketua kampung malah turut menyokong ketua kaum masing-masing.

Residen Bahagian Miri Antonio Kahti Galis berkata, sokongan itu penting bagi memudah dan membantu pelaksanaan pentadbiran peringkat akar umbi selaras kehendak kerajaan.

“Kerjasama rapat penting agar ketua kaum boleh membantu penghulu, pemanca dan temenggung dalam pentadbiran di Baram seterusnya membantu kerajaan menjaga kebajikan masyarakat,” jelasnya.

Antonio berkata demikian pada majlis penyerahan surat pelantikan ketua kaum Long Pilah di bilik mesyuarat Pejabat Residen Miri di sini, Khamis lalu.

Katanya, antara peranan dimain ketua masyarakat ialah membantu menyelesaikan masalah pertikaian keluarga mengenai Undang-undang Adat Anak Negeri, menggalak masyarakat dengan kerajaan, termasuk mengumpul maklumat berhubung kelahiran dan kematian di kawasan masing-masing yang perlu dikemukakan kepada Pejabat Daerah setiap akhir bulan.

Pada majlis berkenaan, Saging Wan Lah, 60, menerima surat pelantikan beliau sebagai Ketua Kaum Kampung Long Pilah, Baram yang telah berkuat kuasa pada 1 Julai 2016 hingga 30 Jun 2020.

Saging menggantikan Kalang Wan Luhat yang bersara pada usia 65 tahun.

Hadir sama mengiringi Saging dalam majlis penyerahan terbabit ialah isteri Saging, Ulau Avit, Pemanca Gilbert Deng Laing, Penghulu Herbert Lawai, Penghulu Ajang Wan dan Ping Anyi Ngau mewakili pegawai Daerah Long Lama.

Sementara itu, Saging berterima kasih kepada kerajaan kerana memberi kepercayaan dan keyakinan kepadanya menjadi ketua kaum di kawasan Long Pilah.

Beliau berharap penduduk kampung kawasan terbabit bekerjasama dengannya dalam satu pasukan untuk membangunkan kemajuan kampung Long Pilah.

“Dengan kerjasama berterusan, saya yakin kita mampu bergerak ke hadapan dan berjaya menghadapi cabaran bersama memastikan Kampung Long Pilah menjadi kampung teladan di kawasan tengah Baram,” tambahnya.

Kampung Long Pilah merupakan salah satu kawasan suku kaum Kayan yang terbesar di Baram dengan populasi penduduknya 2,000 orang.

LikeTweet

Source: http://miri.my/2016/09/03/penduduk-luar-bandar-diingat-sokong-pemimpin-masyarakat/