Penduduk Lawas bakal punyai hospital baharu tiga tahun lagi

LAWAS: Lebih 40,000 penduduk di Lawas bakal mempunyai hospital baharu yang bakal dibina dalam tempoh tiga tahun dengan kos keseluruhan berjumlah RM228 juta.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berkata kontraktor kerja pembinaan hospital baharu itu sudah dilantik dan tapak juga sudah dikenal pasti berhampiran Hospital Lama Lawas.

“Hospital Baharu Lawas membuatkan 76 katil dan pelbagai peralatan moden sekali gus mampu menangani kesesakan jumlah pesakit apabila siap dalam tempoh 2019,” katanya pada sidang akhbar ketika melakukan lawatan kerja beberapa klinik di sini semalam.

Turut sama Ahli Parlimen Lawas, Datuk Henry Sum Agong dan rombongan Kementerian Kesihatan Malaysia.

Selain Lawas, beliau turut mengadakan lawatan ke Hospital Limbang dan Klinik Kesihatan Limbang.

Dr Hilmi berkata, Hospital Baharu Lawas tetap dibina tahun ini setelah sekian lama tertangguh atas pelbagai faktor.

“Dengan pembinaan kemudahan ini membuktikan bahawa kerajaan komited memastikan hospital itu dibina dengan segera demi kesejahteraan rakyat,” tambahnya.

Katanya, turut diluluskan dalam Projek Rancangan Malaysia ke-10 di Limbang ialah pembinaan Klinik Kesihatan (KK) Jenis Enam di Long Napir dengan kos RM3 juta, KK Jenis Tiga Lawas di Banting dengan kos RM23 juta.

Beliau menjelaskan, beberapa projek dilaksanakan di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) diluluskan (Rolling Plan 2).

“Antaranya menaik taraf Hospital Limbang (NICU) dengan kos RM1.5 juta, penambahan kemudahan hemeodialisis Hospital Limbang (RM160,000) dan unit ‘Reverse Osmosis’ Hospital Limbang bernilai RM130,000,” ujarnya.

Jelasnya, projek lain dalam ‘Rolling Plan 2’ ialah KK Jenis Enam dengan kemudahan x-ray dan kuarters bagi KK Nanga Medamit dengan kos RM10 juta, KK Jenis Tujuh dengan kuarters KK Long Sukang (RM10 juta) dan mewujudkan perkhidmatan makmal, farmasi dan pergigian di KK Sundar Lawas.

Dalam pada itu, Dr Hilmi memberitahu belum ada keperluan untuk membina hospital pakar di Limbang.

Oleh itu, pesakit memerlukan rawatan pakar masih perlu dirujuk ke Hospital Miri dan Hospital Kota Kinabalu, Sabah untuk penduduk di Lawas.

“Kita menyedari kesukaran terpaksa dihadapi tetapi pihak kementerian mengalami kekangan dari segi jumlah doktor pakar kerana daripada 1,000 orang diambil untuk dilatih, ramai yang berhenti berkhidmat dengan hospital kerajaan,” katanya.

Terdahulu itu, Henry menyambut baik usaha Kementerian Kesihatan dan mahu lebih serius dilakukan untuk membuktikan komitmen kerajaan merealisasikan hospital baharu Lawas.

LikeTweet

Source: http://miri.my/2016/04/16/penduduk-lawas-bakal-punyai-hospital-baharu-tiga-tahun-lagi/