Penduduk dan JTS bincang kedudukan hak milik tanah

MIRI: Beberapa wakil Kampung Pujut Padang Kerbau mengadakan mesyuarat bersama Jabatan Tanah dan Survei (JTS) bagi mendapat nasihat tanah seluas 300 ekar didakwa milik mereka, petang semalam.

Mesyuarat terbabit turut dihadiri Menteri Muda Perhubungan Datuk Lee Kim Shin.

Menurut Lee, perbincangan itu merupakan mesyuarat pertama antara kedua-dua pihak bertujuan mendapatkan penyelesaian mengenai tanah hak adat (NCR) di Pujut Tanjong Batu tersebut.

Katanya, JTS memberi penerangan kepada wakil penduduk mengenai kriteria perlu ada untuk mendapatkan kelulusan NCR termasuk undang-undang yang tersedia dalam NCR.

Bukan semua penduduk terjejas oleh pemaju di bawah Lembaga Pembangunan dan Tanah Perlindungan (LCDA) sejak 1996 yang meliputi 300 ekar tanah, jelas Lee.

Lee yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Senadin memberitahu, selepas mesyuarat tersebut, JTS melakukan siasatan untuk mengenal pasti pemilik sah.

JTS akan melakukan siasatan dan membuktikan kelayakan NCR melalui beberapa kriteria telah ditetapkan.

Selepas siasatan dilaku dengan bukti sah, ia membolehkan pihak berkaitan mengambil tindakan yang seterusnya, tambah Lee.

Hadir sama ialah Penguasa JTS Miri Yunus Tambi, Pengerusi SUPP Cawangan Pujut Adam Yii dan Ketua Kaum Kampung Pujut Padang Kerbau Osman Sulaiman.


Source: http://www.theborneopost.com/?p=495558