Pendidikan mampu ubah taraf hidup rakyat

Kerajaan berbelanja jutaan ringgit bagi meningkatkan penyampaian sistem pendidikan, kata Dr Rundi

Oleh Mohd Norhadie Sahari //

MIRI: Hanya melalui pendidikan mampu mengubah taraf hidup rakyat dan bagi mencapainya kerajaan berbelanja jutaan ringgit bagi meningkatkan penyampaian sistem pendidikan.

Menteri Muda Kemudahan Awam (Bekalan Elektrik dan Telekomunikasi) Datuk Dr Stephen Rundi Utom berkata, hanya mereka yang berpendidikan mampu melakar kejayaan pada masa depan.

“Saya percaya dan penuh yakin bahawa seseorang yang mempunyai pendidikan tinggi pasti dapat mengubah taraf hidup ke arah lebih baik berbanding sebelumnya,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Majlis Makan Malam Tahunan 2015 Persatuan Bisaya Sarawak malam kelmarin.

Teks ucapan Menteri Muda Pembangunan Belia (Luar Bandar) Sarawak itu dibacakan oleh Senator Datuk Lihan Jok. Hadir sama ialah Pengerusi Persatuan Bisaya Antonio Kahti Galis.

Dr Rundi berkata pemberian insentif kepada pelajar mendorong mereka mencapai kecemerlangan dalam akademik.

“Ia sekali gus menjadi contoh kepada pelajar lain supaya mereka bersaing membuktikan mereka mampu cemerlang dalam pelajaran.

“Saya perhatikan setiap tahun persatuan ini memberi insentif dan hadiah kepada pelajar cemerlang dan ini seterusnya memberi galakan lebih padu kepada mereka untuk belajar,” jelasnya.

Sementara itu Lihan dalam ucapan peribadinya (bukan teks ucapan Dr Rundi) menyaran agar pelajar dan ibu bapa bersedia berdepan dengan sistem pendidikan lebih global iaitu penguasaan dan pertuturan bahasa Inggeris.

“Kerajaan dalam Bajet 2016 telah memperuntuk RM135 juta untuk memartabatkan bahasa Malaysia dan memperkukuh bahasa Inggeris yang juga penting sebagai komunikasi,” katanya.

Bahkan kata Lihan, dasar kerajaan negeri menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa perantara rasmi kerajaan membuktikan bahawa bahasa skunder itu juga penting.

“Kita tidak menolak penggunaan bahasa Malaysia sebagai bahasa rasmi namun penguasaan bahasa Inggeris juga penting dalam berdepan cabaran global khasnya dalam ekonomi,” katanya.

Jelasnya, masyarakat harus menyedari bahawa bahasa Inggeris diguna pakai sejak dahulu lagi khasnya dalam mencari pekerja di syarikat global.

“Kita menyarankan semua rakyat Sarawak menguasai bahasa Inggeris kerana bahasa komunikasi kedua ini penting dalam komunikasi global untuk urusan kerja dan sebagainya,” jelasnya.

Pada majlis sama, beberapa wakil rakyat turut mengumumkan pemberian geran projek kecil luar bandar (MRP) kepada persatuan itu.

Antaranya termasuk Dr Rundi sendiri berjumlah RM5,000, Ahli Parlimen Baram Anyi Ngau (RM10,000), ADUN Batu Danau Paulus Palu Gumbang (RM3,000) dan ADUN Lambir Ripin Lamat (RM5,000).

LikeTweet

Source: http://miri.my/2015/12/13/pendidikan-mampu-ubah-taraf-hidup-rakyat/