Pendidikan berkualiti lahir pemikir kritis

Kemahiran berfikir penting untuk bantu mencapai pembangunan dalam abad ke-21

// Oleh Connie Sylvia Mesa //

PENGHARGAAN: Fatimah menyampaikan cenderamata kepada Dr Adi Badiozaman
sambil disaksikan oleh Jamiran (berdiri tengah) serta yang lain.

PENGHARGAAN: Fatimah menyampaikan cenderamata kepada Dr Adi Badiozaman sambil disaksikan oleh Jamiran (berdiri tengah) serta yang lain.

MIRI: Pendidikan berkualiti mampu melahir masyarakat yang menyumbang kepada pembangunan negara termasuk menggalak kanak-kanak berfikiran kritis.

Menteri Kebajikan, Wanita dan Kesejahteraan Komuniti Datuk Fatimah Abdullah berkata, pemikiran berkenaan perlu berlaku dalam suasana kelas bagi membolehkan kanak-kanak khasnya mendapat pendidikan yang berkualiti.

Salah satu usaha dalam memastikan kualiti pendidikan tersebut dapat dicapai katanya, ialah menyusun semula di samping menambah baik Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) dan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM).

“Oleh itu, bermula tahun lalu, 20 peratus soalan peperiksaan awam UPSR berdasarkan soalan memerlukan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (HOTS/KBAT).

“Bagi tahun ini, soalan-soalan HOTS berkenaan meningkat kepada 30 peratus,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media selepas merasmikan penutupan Persidangan Antarabangsa Pendidikan (ICE) 2016 anjuran Persatuan Perkembangan Profesionalisme Pendidikan Sarawak (PROFES) dan Institusi Pendidikan Guru (IPG) Kampus Miri, bertempat di Hotel Meritz Miri di sini semalam.

Hadir sama ialah Timbalan Pengerusi PROFES Abang Mat Ali Abang Masagus dan Pengerusi Bersama ICE 2016 merangkap Pengarah IPG Kampus Miri Jamiran Salam.

Jelas beliau, perubahan dalam kurikulum berkenaan bertujuan untuk memupuk pemikiran secara kreatif, inovasi, menyelesaikan masalah dan kemahiran kepimpinan di kalangan pelajar.

Terdahulu, Fatimah yang juga Penaung PROFES berkata, masyarakat masa kini sedar akan kepentingan HOTS dalam membantu mencapai pembangunan dalam abad ke-21 ini.

“Bagaimanapun, kemahiran lebih tinggi diajar dan dinilai terus menjadi bidang perdebatan, dengan ramai guru dan majikan menyuarakan kebimbangan bahawa orang muda ‘tidak boleh berfikir’.

“Dalam kajian Brookhart (2010), mengenal pasti Kemahiran Berfikir Aras Tinggi adalah pemindahan, pemikiran kritikal dan penyelesaian masalah.

“Ia turut berpendapat bahawa jika guru berfikir pada aras tinggi seperti menyelesaikan sesuatu masalah, mereka boleh menetap matlamat mengajar pelajar cara mengenal pasti dan penyelesaian masalah bukan sahaja diguna di sekolah, tetapi turut dimanfaatkan berfikir dalam kehidupan.

“Ini bukan sahaja menyelesaikan masalah yang dibentuk oleh guru tetapi turut menyelesaikan masalah baharu yang mereka tentukan dan mewaujudkan cara penyelesaian,” jelasnya.

Sementara itu, persidangan selama dua hari (18 dan 19 Oktober) bertemakan ‘Propagating Quality Education: Integrating Thinking in the Classrooms’ berkenaan bertujuan untuk menyediakan platform perkongsian pendidikan untuk para pendidik dan penyelidik dalam meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran di Sarawak.

Persidangan itu disertai sekitar 300 terdiri daripada warga pendidik dari Semenanjung, Sabah, Sarawak, New Zealand dan Hong Kong yang membolehkan para guru dan penyelidik memperkembangkan platform perkongsian pendidikan mereka di Sarawak, khasnya di Miri.

Program terbabit turut menyokong aktiviti pembangunan pendidikan yang akan membantu warga pendidik di Sarawak bukan hanya di bandar, tetapi di kawasan pedalaman dan juga kawasan luar bandar.

Dalam masa sama, persidangan berkenaan juga menggalakkan Miri sebagau salah satu destinasi utama di Sarawak untuk memperkembangkan perkongsian mengenai pendidikan.

Antara penceramah yang terlibat dalam persidangan itu ialah Profesor Madya Dr Lee Kean Wah dan Profesor Madya Dr. Tan Choon Keong dari Universiti Malaysia Sabah; Pengarah Biro Pendidikan Majlis Islam Sarawak, Datu Dr Adi Badiozaman Tuah dan Profesor Madya Dr Henry Ma dari Universiti Politeknik Hong Kong.

LikeTweet

Source: http://miri.my/2016/10/20/pendidikan-berkualiti-lahir-pemikir-kritis/