'Penan tidak beri kerjasama buat MyKad'

MIRI: Sikap masyarakat Penan di Sarawak yang sukar memberi kerjasama kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) antara punca menyebabkan ada dalam kalangan mereka belum memiliki MyKad dan sijil lahir.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan, Dennis Ngau, berkata ada kes petugas agensi berkenaan dihalau atau dilarang memasuki penempatan Penan walaupun mereka berniat baik untuk mendaftarkan MyKad dan sijil lahir bagi komuniti itu.

Katanya, kes berkenaan pernah dilapor berlaku di sebuah penempatan Penan di Baram, sekali gus menyebabkan rombongan petugas JPN terpaksa membatalkan tujuan asal mereka.

“Ini menyukarkan usaha kerajaan untuk memastikan komuniti Penan memiliki MyKad dan sijil lahir khususnya di pedalaman Baram,” katanya mengulas mengenai kesukaran JPN mendaftarkan MyKad dan sijil lahir untuk komutiti Penan di Sarawak.

Dennis berkata, kesukaran berhubung dengan Penan menjadi antara cabaran utama yang perlu dihadapi petugas JPN menyediakan perkhidmatan mereka.

Beliau berkata, masih ramai masyarakat Penan di Sarawak, khususnya di Baram belum memiliki sijil lahir atau MyKad walaupun pelbagai usaha sudah dilakukan untuk mendaftarkan komuniti itu.

“Petugas JPN tidak boleh putus asa dengan sikap Penan, sebaliknya meneruskan usaha berkenaan dengan pendekatan berbeza untuk kebaikan komuniti berkenaan,” katanya.

Katanya, komuniti Penan perlu dimaklumkan lebih awal mengenai kehadiran petugas JPN supaya mereka tidak keluar memburu atau ke hutan.

Katanya, masalah itu kerap berlaku sekali gus menyebabkan bilangan Penan yang keluar memohon sijil lahir atau MyKad tidak begitu ramai.

Source: https://www.bharian.com.my/berita/wilayah/2019/01/521870/penan-tidak-beri-kerjasama-buat-mykad