Penan Tana’ Fund terus operasi, eksploitasi Penan

Tabung kononnya bantu Penan, walhal komuniti itu tidak pernah menerima satu sen pun: Hassan

// Oleh Clare Cinderella //

BANTU: Lau (duduk, lima kiri), Hassan (duduk, tiga kanan) serta yang
lainnya bergambar bersama pelajar Penan menerima biasiswa pendidikan tersebut.

BANTU: Lau (duduk, lima kiri), Hassan (duduk, tiga kanan) serta yang lainnya bergambar bersama pelajar Penan menerima biasiswa pendidikan tersebut.

MIRI: Tabung mengutip dana kononnya bertujuan membantu masyarakat Penan di Sarawak, Penan Tana’ Fund masih terus beroperasi di Eropah, sedangkan masyarakat Penan negeri ini, terutama golongan nomadik berpindah-randah, tidak pernah menerima satu sen pun faedah daripada dana tersebut.

Presiden Persatuan Pembangunan Tipun Penan Sarawak (PETIPUN) Temenggung Datuk Hassan Sui, ketika mendedahkan perkara tersebut, berkata beliau terkejut melihat tabung bantuan tersebut masih lagi wujud dan berjalan di Eropah, sedangkan Penan di negeri ini tidak tahu mengenainya malah tidak pernah menerima sumbangan walau satu sen pun untuk apa juga faedah dan manfaatnya.

“Ke mana ia pergi? Jelas masyarakat Penan hanyalah dieksploitasikan semata-mata, demi keuntungan oleh pihak tertentu sahaja.

“Ia bukan tabung untuk membantu masyarakat Penan tetapi mempergunakan kaum Penan di negeri ini untuk meraih kepentingan mereka semata-mata,” tegas beliau lagi.

“Daripada 18,000 populasi Penan di Sarawak, hanya 200 sahaja yang masih nomadik dan golongan inilah masih dan kerap dieksploitasikan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mahu mengambil kesempatan dan keuntungan di atas nama Penan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta masyarakat Penan, khususnya yang masih menjalani kehidupan berpindah-randah supaya menerima pembangunan agar mereka tidak lagi dieksploitasikan pihak tidak bertanggungjawab.

Katanya, golongan NGOs ini bukan sahaja menubuhkan tabung untuk mengutip dana seperti Penan Tana’ Fund yang ditubuhkan oleh Tabung Bruno Manser, tetapi menulis buku-buku dan sebagainya menggunakan nama ‘Penan’ namun hasil dan manfaatnya, tiada satu sen atau satu faedahpun yang diterima oleh Penan, terutama golongan berpindah-randah itu.

“Hanya kaum Penan ini sendiri mampu membangunkan diri kita dan berhenti menjadi bahan eksploitasi pihak lain.

“Justeru fokus utama PETIPUN ialah mahu membangunkan masyarakat Penan menerusi pendidikan.

“Hanya melalui pendidikan sahaja, maka kaum Penan boleh maju dan keluar dari kemunduran yang membelenggu dan seterusnya berdiri serta maju seperti kaum lain di negeri ini,” tambahnya.

Berucap di majlis penyampaian geran pendidikan atau biasiswa Interhill-PETIPUN 2016 di Hotel Pullman di sini, semalam, Hassan turut menggesa generasi muda Penan yang menerima biasiswa pendidikan tersebut supaya belajar dengan rajin dan seterusnya menjadi insan berjaya serta berjuang untuk membangunkan bangsa mereka.

Sementara itu Program Geran/Biasiswa Pendidikan Interhill-PETIPUN merupakan bantuan pendidikan yang disediakan oleh Kumpulan Interhill bagi membantu 15 pelajar Penan sudah dipilih untuk menyambung pengajian mereka di pelbagai institut pendidikan.

Menurut Pengurus Komunikasi Korporat Kumpulan Interhill, Angelyna Ental, daripada jumlah tersebut, 12 orang sudah diterima untuk melanjutkan pengajian di Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) di Miri, seorang diterima untuk pengajian Diploma Kejuruteraan Awam di UiTM Kota Samarahan, seorang lagi mengikuti program sarjana bagi Penyelidikan Orang Asal di UNIMAS dan seorang lagi dalam bidang teknikal sistem komputer Tahap 3 di Pusat Pembangunan dan Kemahiran Sarawak (PPKS) Miri.

“Sesungguhnya, kami di Interhill, amat berbesar hati kerana dapat bersama-sama meraikan kejayaan dan pencapaian generasi muda Penan ini, dengan harapan dapat menamatkan pengajian seterusnya mengguna ilmu ada untuk memajukan masyarakat,” katanya lagi.

Katanya, Interhill juga amat berbangga dapat membantu dan menyumbang kepada masyarakat Penan, lebih-lebih lagi dalam bidang pendidikan yang diyakini mampu mengubah masyarakat itu agar maju ke hadapan dan seiring dengan bangsa lain.

Sejak program tersebut diwujud pada 2009 oleh syarikat yang diasas Pengarah Urusannya, Datuk Hii Chang Pee, ia telah memberi manfaat kepada 98 pelajar Penan yang berjaya melanjutkan pengajian mereka di institut pengajian seluruh negara.

Sementara itu geran pendidikan tersebut disampaikan oleh Timbalan Pengarah Kumpulan Interhill, Datin Lau Ngok Yung, sambil disaksikan oleh Ketua Akuantan Kumpulan Interhill, Joshua Chang serta Pengurus Besar Pullman Miri, Michael Weiss.

LikeTweet

Source: http://miri.my/2016/09/09/penan-tana-fund-terus-operasi-eksploitasi-penan/