Pemuzik didakwa kerana miliki telefon pintar curi

MIRI: Gara-gara memiliki sebuah telefon pintar curi, seorang pemuzik didenda RM6,000 atau tiga bulan penjara oleh Mahkamah Majistret, di sini semalam.

Hukuman itu dijatuhkan Majistret Lovely Natasha Charles setelah menimbangkan beberapa aspek termasuk pengakuan salah dan rayuan tertuduh, keterangan fakta kes, berat kesalahan dilakukannya serta mengambil kira kepentingan awam.

Ong Guan Par, 62, dari Kampung Petanak, Mukah didakwa mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Berdasarkan pertuduhan kes, tertuduh didapati dengan curang memiliki harta curi iaitu sebuah telefon pintar jenama iPhone 6S Plus bernilai RM3,658 kepunyaan Rahimah Ibrahim.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 11.30 pagi, 15 November lalu di sebuah bilik tidak bernombor di Unity Centre, Pusat Komersil Pelita di sini.

Pendakwaan dilakukan Inspektor Mohd Khairi Mohd Nor.

LikeTweet

Source: http://miri.my/2015/11/17/pemuzik-didakwa-kerana-miliki-telefon-pintar-curi/