Pemuda ditangkap, disyaki edar dadah

DICEKUP: Suspek dibawa ke pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik
Daerah Miri untuk tindakan lanjut.

DICEKUP: Suspek dibawa ke pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Miri untuk tindakan lanjut.

BUKTI: Sebanyak 17 peket plastik lut sinar mengandungi dadah dipercayai
jenis Ketamine dan satu alat penimbang digital dirampas daripada suspek.

BUKTI: Sebanyak 17 peket plastik lut sinar mengandungi dadah dipercayai jenis Ketamine dan satu alat penimbang digital dirampas daripada suspek.

MIRI: Polis Miri percaya dapat menumpaskan satu lagi kegiatan pengedaran dadah dengan penangkapan seorang lelaki dan merampas dadah berbahaya jenis Ketamine seberat 58 gram.

Ketua Polis Daerah Miri ACP Junaidi Bujang berkata, berikutan tangkapan itu suspek berusia 22 tahun kemudian dibawa ke pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Miri untuk tindakan lanjut.

Terdahulu, katanya, bertindak atas maklumat, sepasukan polis diketuai Inspektor Wikkram A/L Sandra menyerbu sebuah rumah terletak di kawasan Lopeng Baru.

Dalam serbuan sekitar jam 10.30 pagi semalam, polis dapati pintu rumah terbabit dalam keadaan berkunci dan setelah menjenguk ke dalam rumah melalui tingkap, mreka mendapati seorang lelaki sedang tidur di ruang tamu.

Polis kemudian mengejutkan lelaki terbabit dan memintanya membuka pintu.

Menurut Junaidi, semasa ditanya sama ada suspek menyimpan apa-apa barang salah, suspek memberitahu tidak ada dan semasa pemeriksaan badan dilakukan. Polis juga tidak menjumpai apa-apa barang yang menyalahi undang-undang.

“Seterusnya, hasil pemeriksaan lanjut di bahagian bawah rak televisyen di ruang tamu, polis telah menjumpai satu kotak berlogo gajah pelbagai warna mengandungi 17 peket plastik lut sinar masing-masing berisi ketulan kristal dipercayai dadah jenis Ketamine,” katanya dalam kenyataan akhbar di sini semalam.

Turut dirampas satu alat penimbang digital di dalam kotak yang sama.

Katanya, pada jam 11.45 pagi hari sama, polis melakukan ujian air kencing terhadap suspek mendapatinya positif dadah jenis Ketamine.

“Hasil siasatan awal polis mendapati suspek mendapatkan bekalan dadah daripada seseorang setelah menerima wang yang dimasukkan oleh individu lain ke dalam akaunnya.

“Dia kemudian akan bertemu para pembeli di satu tempat yang telah ditetapkan untuk tujuan pengedaran dadah jenis Ketamine,” katanya sambil memberitahu suspek turut mempunyai dua rekod kesalahan lampau berkaitan dadah.

Kes akan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

LikeTweet

Source: http://miri.my/2016/06/29/pemuda-ditangkap-disyaki-edar-dadah/