Pemimpin peringkat kampung perlu memiliki visi, misi tersendiri

MARUDI: Penyandang DUN Telang Usan Dennis Ngau memberitahu bahawa seseorang pemimpin meskipun hanya di peringkat kampung perlu mempunyai visi dan misi tersendiri sebagai seorang ketua masyarakat dalam memimpin anak buah mereka.

Katanya pemimpin juga perlu mengetahui keperluan, kelemahan dan kelebihan serta keadaan di kampung atau rumah panjang dalam jagaan mereka.

“Ketua kaum harus mempunyai idea sendiri dalam usaha memajukan kampung di bawah jagaan mereka,” katanya pada majlis penyampaian sijil pelantikan rasmi ketua kaum/tuai rumah di sini.

Sijil Pelantikan Ketua Kaum/Tuai Rumah itu disampaikan Pegawai Tadbir Sarawak (SAO) Reagan Edwin mewakili pegawai daerah Marudi kepada tiga penerima sambil disaksikan Dennis dan Pemanca Gilbert Ding Laing.

“Mereka juga perlu mempunyai kredibiliti kerana dipilih dan biasanya seseorang yang dilantik sebagai ketua kaum kebanyakannya bekas atau pesara kerajaan, guru dan mereka yang mempunyai pendidikan.

“Bukan bermakna orang tiada pelajaran tidak dapat memimpin tetapi dari segi perspektifnya kurang daripada pejabat daerah dan bukan senang memproses sebaliknya agak lama kerana menunggu keputusan rekod pemimpin itu sendiri dari Bukit Aman,” jelasnya.

Selain itu, katanya seseorang ketua kaum atau masyarakat itu perlu menerima sokongan padu daripada penduduk kampung atau rumah panjang yang dipimpinnya,” tambahnya.

Sementara itu, antara penerima sijil pelantikan tersebut ialah Ketua Kaum Gilbert Ding Wan, 64, bertanggunjawab kepada 127 pintu rumah panjang di Long Panai, Uma Beluvoh di Tutoh.

Gilbert merupakan seorang guru besar dan pernah mengajar di Baram dan Bintulu.

Beliau pernah menabur bakti di SMK Long Lama, SMK Long San, SMK Tatau, SK Datuk Temenggong Muip dan SK St Joseph Miri.

Dalam pada itu, Gilbert turut mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) dan Dennis atas kepercayaan beliau kerana mengusulkan pelantikannya serta penduduk Kampung Long Panai yang memberi sokongan serta percaya dengan kepimpinan beliau.

Sementara itu, dua tuai rumah panjang turut menerima pelantikan dan dilanjutkan tempoh lantikan sehingga empat tahun lagi iaitu Jamit Anggol dilantik tuai rumah baharu bagi Sungai Stapang A.

LikeTweet

Source: http://miri.my/2016/04/20/pemimpin-peringkat-kampung-perlu-memiliki-visi-misi-tersendiri/