Pemimpin pelapis ditampil sebagai calon pada PRN, kata Awg Tengah

MIRI: Barisan pemimpin generasi pelapis akan tampil sebagai calon parti Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Menteri Kemudahan Awam, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, mereka diperlu bagi menerus perjuangan parti membangun Sarawak selain mempertahan perpaduan di samping mengekal keharmonian rakyat.

“Dalam pilihan raya akan datang ini, kita akan menampil beberapa pemimpin pemuda kita termasuk wanita.

“Ini penting untuk memastikan bahawa semangat meneruskan perjuangan kita akan dapat disambung generasi pelapis,” katanya.

Beliau berkata demikian di hadapan hampir 4,000 peserta Fiesta #DUNLAMBIR di tapak projek Bakam Point, di Bakam semalam.

Awang Tengah berkata, beliau berharap perpaduan akan terus kukuh walaupun berbeza agama dan kaum namun hasrat perjuangan sama.

Beliau memberitahu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lambir dan Naib Ketua Pemuda PBB Sarawak, Ripin Lamat merupakan pemimpin muda yang diangkat oleh PBB.

Sehubungan itu, dalam PRN kelak, Ketua Menteri, Tan Sri Datuk Patinggi Adenan Satem mahu semua 82 calon dipilih mendapat kemenangan besar.

“Dengan mandat besar, Adenan akan dapat buka mulut. PM akan dengar. Kerajaan Persekutuan akan dengar. Ini bukan suara Adenan sahaja. Ini suara rakyat seluruh negeri Sarawak,” tegasnya.

Mengulas mengenai perpaduan, Awang Tengah juga Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Kedua, mahu perpaduan dan keharmonian dinikmati rakyat Sarawak terus dipertahan kerana menjadi kekuatan mencorak masa depan generasi baharu.

Beliau tidak mahu rakyat memandang remeh kepentingan perpaduan kaum kerana ia mampu menggoyahkan kestabilan, keselamatan dan membantutkan pembangunan.

“Jangan kita main-main. Nilai perpaduan begitu berharga sekali. Apatah lagi dalam keadaan masyarakat kita sekarang yang berbagai kaum,” jelasnya.

Sehubungan itu, penduduk kampung dan rumah panjang harus bertindak sebagai askar di peringkat akar umbi untuk mempertahankan kawasan kediaman mereka dari dicerobohi golongan pelampau yang dikhuatiri akan memecahbelahkan perpaduan dan keharmonian kaum.

Beliau tidak mahu rakyat terpedaya ideologi politik dibawa parti pembangkang Semenanjung Malaysia yang hanya muncul ketika musim pilihan raya.

“Menjadi tugas dan tanggungjawab kita menjaga semua kampung, rumah panjang dan kawasan kita supaya tidak mampu ditembusi golongan pelampau.

“Kita adalah soldadu peringkat akar umbi, kita adalah askar di peringkat akar umbi. Kita pertahan kawasan kita,” katanya lagi,.

Awang Tengah berkata, kerajaan Sarawak mempunyai kuasa menghalang golongan pelampau agama dan politik daripada memasuki negeri ini.

Mengulas tentang Fiesta #DUNLAMBIR, Ripin memberitahu, aktiviti terbesar julung kali itu disertai golongan belia dan dewasa terdiri daripada penduduk kampung, rumah panjang dan ahli Pemuda di semua ranting parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di kawasan Lambir.

Pelbagai pertandingan dianjurkan yang antaranya, Lambir Idol, ratu kebaya, tarian poco-poco, sukaneka dan sukan pantai.

LikeTweet

Source: http://miri.my/2016/02/27/pemimpin-pelapis-ditampil-sebagai-calon-pada-prn-kata-awg-tengah/