Wakil rakyat Barisan Nasional (BN) perlu memanfaatkan laman sosial Facebook untuk berinteraksi dengan rakyat khususnya dalam mendekati golongan muda.
Timbalan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Amar Abang Abdul Rahman Zohari Tun Abang Openg berkata, menerusi Facebook mereka secara tidak langsung dapat berdialog dan mengetahui masalah rakyat di peringkat akar umbi.
Katanya, dalam era globalisasi wakil rakyat harus menguasai teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) untuk memudahkan mereka berkomunikasi dengan rakyat.
Kalau pemimpin tidak tahu menggunakan Facebook, matilah…, kerana orang lain sudah menggunakan Facebook sedangkan kita masih pakai exercise book (buku latihan) atau buku lima.
Walaupun tidak semua, namun pemimpin kita harus ada kesedaran menggunakan sepenuhnya Facebook, kita tiada pilihan. Sudah sampai masanya mereka melakukan transformasi demi kebaikan parti, katanya.
Abang Zohari yang juga Menteri Perumahan dan Pembangunan Bandar berkata demikian semasa menyampaikan ceramah Pencapaian BN Sarawak dan Isu Utama Menjelang Pilihanraya Negeri Sarawak di Seminar Politik anjuran SUPP petang tadi.
Hadir sama Presiden Parti, Datuk Patinggi Tan Sri Dr George Chan, Setiausaha Pengerusi SUPP Datuk Seri Peter Chin Fah Kui dan wakil-wakil politik termasuk ahli politik veteran dari parti komponen BN.
Mengulas lanjut, beliau berkata Facebook dapat dijadikan platform parti untuk menarik golongan muda memandangkan golongan inilah yang paling ramai menggunakan laman sosial itu pada masa kini.
Mereka ini mempunyai pemikiran yang berbeza. Dalam hal ini, SUPP harus menggunakan apa sahaja mekanisme yang ada untuk menggalakkan pembabitan mereka dalam parti, katanya.
Turut menyampaikan ceramah ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Idris Jala, Timbalan Presiden Bersatu Sabah (PBS) Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili dan Presiden Parti Gerakan dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon.
Seramai 240 ahli SUPP dari seluruh cawangan menghadiri seminar selama tiga hari di Eastwood Valley Golf dan Country Club yang berakhir esok.
http://sarawakupdate.com/news/sarawak-state-election/pemimpin-bn-perlu-berinteraksi-di-fb/