Pemeriksaan awal cegah risiko NCD

UJI:
Majang (kanan) membuat pemeriksaan tekanan darah dan paras gula darah semasa
melawat ruang pameran Kem Kesihatan KOSPEN 2016 sambil diiring oleh (dari
kiri) Dr Azlee, Raini dan Dr Rawa di pekarangan Dewan Masyarakat Kampung Penan
Muslim Batu 10 semalam.

UJI: Majang (kanan) membuat pemeriksaan tekanan darah dan paras gula darah semasa melawat ruang pameran Kem Kesihatan KOSPEN 2016 sambil diiring oleh (dari kiri) Dr Azlee, Raini dan Dr Rawa di pekarangan Dewan Masyarakat Kampung Penan Muslim Batu 10 semalam.

Peningkatan NCD punca utama kematian pramatang dewasa di M’sia

Oleh Abang Ismail Abang Su’ud //

BINTULU: Penduduk perlu membuat pemeriksaan awal tahap kesihatan untuk mengenal pasti faktor risiko dan pengawalan penyakit tidak berjangkit (NCD) terutama membabitkan penyakit darah tinggi, kencing manis dan obesiti.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Samalaju, Majang Renggi berkata, peningkatan NCD merupakan punca utama kematian pramatang dalam kalangan dewasa di Malaysia.

Katanya, kesan NCD merupakan ketidakupayaan dan kematian golongan umur masih produktif dari segi menjana ekonomi negara.

“NCD merupakan penyakit kronik akan dihidapi dalam jangka masa lama. Berbeza penyakit berjangkit, NCD tidak merebak melalui jangkitan,” katanya berucap merasmikan Kem Kesihatan KOSPEN (Komuniti Sihat Perkasa Negara) 2016 di Dewan Masyarakat Kampung Penan Muslim Batu 10 Jalan Bintulu-Miri semalam.

Turut hadir pengerusi penganjur merangkap Pakar Perubatan Keluarga Klinik Kesihatan Bahagian Bintulu, Dr Rawa Bau dan Ketua Kaum Kampung Penan Muslim Batu 10, Raini Piee.

Beliau berkata, ia mempunyai faktor risiko atau pendorong yang boleh menyebab seseorang itu cenderung mendapat NCD.

“NCD utama adalah kencing manis (diabetis), penyakit kardiovaskular termasuk tekanan darah tinggi, strok (angin ahmar), kanser dan penyakit respiratori (paru-paru kronik),” jelasnya.

Beliau berkata, 60 peratus daripada kematian tahunan dunia adalah berpunca daripada NCD dan 25 peratus adalah kematian awal serta NCD yang boleh dicegah.

Menurutnya, keadaan itu akan memberi impak negatif terhadap sistem kesihatan awam yang dibebani kos rawatan dan pemulihan yang tinggi bagi pesakit-pesakit kronik.

“Sekiranya alpa dan mengamal sikap tidak peduli dengan kesihatan, maka jumlah rakyat Malaysia yang hidup dengan penyakit akibat gaya hidup tidak sihat akan bertambah berkali ganda pada masa hadapan,” tambahnya.

Justeru beliau berharap aktiviti dan program seumpamanya akan memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai kepentingan mengamal gaya hidup sihat bagi mencegah NCD dalam kehidupan harian mereka.

Terdahulu Pegawai Kesihatan Bahagian Bintulu, Dr Azlee Ayub berkata, program KOSPEN menekankan lima skop utama iaitu hidup yang aktif, pemakanan yang sihat, tidak merokok, pengurusan berat badan dan pengesanan NCD pada peringkat awal melalui saringan kesihatan.

“Kem Kesihatan KOSPEN di Kampung Penan Muslim Batu 10 membabitkan pameran kesihatan dan beberapa aktiviti senaman, ceramah dan sebagainya bertujuan menggalak masyarakat membudaya amalan hidup sihat dan memberi pengetahuan dan kefahaman lebih meluas mengenai kesihatan,” ujarnya.

Dalam pada itu, antara aktiviti yang diadakan dalam program itu ialah senaman zumba, berjalan 10,000 langkah, ceramah kesihatan mengenai `Kanser Pangkal Rahim’ oleh Dr Mariana Tumin; Obesiti oleh Dr Linda Jok, pameran kesihatan, pertandingan mewarna untuk kanak-kanak, saringan kesihatan, demonstrasi dan pertandingan memasak secara sihat.

LikeTweet

Source: http://miri.my/2016/08/27/pemeriksaan-awal-cegah-risiko-ncd/