Pemergian ‘Tok Nan’ amat mengejutkan rakyat Sarawak

MIRI: Kehilangan Ketua Menteri Sarawak yang kelima Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem amat mengejutkan ramai pihak dan turut menyentap perasaan beberapa rakan baik dan pemimpin yang amat menyanjung tinggi ketokohan dan perjuangan beliau.

Setiausaha Agong Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Datuk Sebastian Ting berkata kehilangan Ketua Menteri yang lebih mesra dipanggil ‘Tok Nan’ itu amat mengejutkan beliau malah sukar dipercayai olehnya.

Sebastian yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau berkata, beliau secara peribadi sudah mengenali Adenan lebih 20 tahun lalu sebagai seorang rakan sepermainan dalam sukan golf sebelum berkecimpung dalam politik.

“Justeru, sebaik menerima berita tersebut awal petang tadi saya amat terkejut dan berasa sangat sedih kerana bukan sahaja kehilangan seorang pemimpin tetapi juga seorang rakan berkongsi minat dan sukan golf.

“Sebagai seorang Ketua Menteri, meskipun hanya berkhidmat tidak sampai tiga tahun namun beliau telah membawa banyak perubahan kepada negeri ini.

“Lebih-lebih lagi dalam pentadbirannya yang mana beliau menggubal banyak polisi yang lebih mementing dan mengutamakan rakyatnya,” katanya kepada Utusan Borneo di sini semalam.

Menurut Sebastian, salah satu usaha paling besar dilakukan oleh beliau ialah menuntut semula hak dan kuasa autonomi Sarawak daripada kerajaan pusat dan perkara ini disokong sepenuhnya oleh SUPP.

“Beliau adalah pemimpin berjiwa rakyat yang jauh di sudut hatinya, beliau seorang insan yang amat prihatin dan berjuang sepenuhnya untuk rakyat Sarawak dan demi Sarawak.

“Sebagai Ketua Menteri Sarawak yang kelima, beliau juga merupakan seorang yang amat terbuka, bersikap menghormati terutama dalam kepercayaan di kalangan rakyatnya yang berbilang bangsa dan agama,” jelasnya.

“Bagi beliau, Tuhan saya adalah Tuhan awak juga tetapi bagaimana cara awak menyembah Tuhan awak, itu terpulang kepada awak, menunjukkan beliau seorang amat menghormati. Sikap inilah yang amat dipuji oleh saya malah oleh SUPP,” tambah Sebastian.

Bagi Menteri Muda Solariditi Rosey Yunus turut sependapat bahawa kehilangan Allahyarham amat mengejutkan dan satu kehilangan amat besar kepada rakyat dan negeri Sarawak.

“Beliau telah melakukan banyak perkara untuk Sarawak dan berjuang untuk rakyat serta negeri ini hingga ke nafasnya yang terakhir,” jelasnya.

Sambil berharap ahli-ahli keluarganya tabah menempuh dugaan Allah, Rosey berkata beliau dan rakyat di konstituensinya di Bekenu turut berkongsi kedukaan dan kehilangan tersebut bersama keluarga Allahyarham.

“Selaku wakil rakyat Bekenu, saya bersama-sama rakyat di konstituensi Bekenu ingin mengucapkan takziah kepada Datin Patinggi Datuk Amar Jamilah Anu dan ahli keluarga Allahyarham, semoga rohnya ditempatkan di kalangan orang beriman,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Penganjur Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) UPP dan Pengerusi UPP Cawangan Pujut Bruce Chai memberitahu bahawa beliau dan ahli kumpulan bual sosial WeChat mereka amat terkejut dan sukar mempercayai berita tersebut pada awalnya.

“Bagi diri saya dan rakan-rakan dalam kumpulan WeChat kami serta penduduk dalam konstituensi Pujut (UPP), amat terkejut dengan pemergian beliau yang dirasakan amat cepat sekali di kala kita dan rakyat negeri ini masih dan amat memerlukan khidmat beliau.

“Beliau sebagai seorang Ketua Menteri, meskipun dalam masa yang singkat mampu melakukan banyak perubahan yang amat baik dan membuat keputusan berdasarkan kepentingan rakyat negeri ini,” katanya.

“Justeru, kami amat sedih malah kehilangan kata-kata menerima kehilangan seseorang yang amat tidak dijangka ini.

“Malah, beliau memiliki potensi amat besar mengubah Sarawak menjadi lebih baik dan hebat walaupun dalam jangka masa pendek,” tambahnya.

Bruce berkata, beliau dan ahli UPP di Miri khususnya konstituensi Pujut mengucapkan takziah kepada ahli-ahli keluarga Allahyarham dan berharap mereka tabah meneruskan kehidupan mereka.

“Pada masa yang sama, kami juga berharap agar semua rakyat Sarawak bertenang dengan berita ini dan kekal bersatu padu lebih-lebih lagi dalam mengharungi waktu yang sukar seperti ini,” katanya.

LikeTweet

Source: http://miri.my/2017/01/12/pemergian-tok-nan-amat-mengejutkan-rakyat-sarawak/