Pembinaan projek Jambatan Batang Igan tidak pernah ditangguhkan

KUCHING: Pembinaan projek Jambatan Batang Igan tidak pernah ditangguhkan, namun ia berdepan kelewatan pelaksanaannya kerana tapak jambatan yang perlu dipindahkan ke tapak baharu berhampiran Kampung Igan.

Menurut Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof, ekoran pemindahan tapak cadangan jambatan tersebut, projek terpaksa berdepan kelewatan kerana kerja awalan termasuk ukur tanah dan hidrografik, penyiasatan tanah, reka bentuk struktur jambatan dan lain-lain perlu dibuat semula.

Malah katanya, proses untuk melaksanakan kerja awalan itu dijangka mengambil masa sekurang-kurangnya satu tahun.

“Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri telah mendapat kelulusan tapak jambatan lebih awal lagi daripada Unit Perancangan Negeri (SPA) bagi membina jambatan (Batang Igan) itu sepanjang lebih kurang tujuh hingga lapan kilometer ke hulu Kampung Igan dan kerja awalan termasuk reka bentuk jambatan telah siap.

“Namun, hasil perbincangan bersama pihak Pejabat Daerah Matu ketika berlangsungnya Makmal Pengurusan Nilai (MPN) anjuran Unit Perancang Ekonomi (UPE) yang berlangsung di Kuching pada Julai lalu, penduduk kampung terlibat khususnya di Kampung Igan telah membangkitkan permintaan untuk mendapat akses ke jambatan itu.

“Justeru, atas permintaan penduduk setempat, maka Makmal memutuskan supaya tapak jambatan dipindahkan dari tapak asal ke tapak berhampiran jeti feri Kampung Igan,” jelasnya menerusi satu kenyataan akhbar semalam.

Jelasnya juga, atas faktor-faktor itu juga, projek pembinaan jambatan tersebut tidak dapat bermula pada awal 2017 seperti perancangan asal, sebaliknya perlu menunggu tempoh setahun bagi memberi laluan kerja awalan di tapak baharu yang dicadangkan.

Surat rayuan kepada UPE juga sedang disediakan oleh pihak kementerian untuk menimbang semula keputusan MPN supaya tidak melewatkan pelaksanaan projek pembinaan tambatan tersebut, ujarnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Ahli Parlimen Petra Jaya itu turut memberitahu, tiga jambatan pada asalnya tidak diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) iaitu Jambatan Sungai Rambungan, Jambatan Batang Igan dan Jejambat (Flyover) Bintulu namun setelah rayuan dibuat ia telah diluluskan untuk pelaksanaan.

Ia adalah selain daripada projek Jambatan Batang Lupar dengan kos RM1 bilion yang merupakan Akujanji Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semasa lawatannya ke Jambatan Batang Sadong dan Bintulu pada 31 Januari lalu, jelasnya.

“Bagi projek Jambatan Batang Sadong, ia telah diluluskan oleh UPE pada 2011 setelah lawatan Perdana Menteri (Najib) ke Sadong Jaya sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-10 pada 2011.

“Manakala bagi projek Jambatan Batang Samarahan ia juga telah diluluskan oleh UPE di bawah RMK10 pada 2013. Justeru, ia dapat dilaksanakan lebih awal berbanding projek Jambatan Batang Igan yang diluluskan UPE di bawah RMK11 iaitu pada 2016,” jelasnya.

Antara projek lain yang diluluskan di bawah Kementerian Kerja Raya sejak 2014 termasuk naik taraf jalan dari pasar raya Emart ke Matang, Stapok berjumlah RM145 juta, naik taraf Jalan Kuching-Serian dari Batu 10-Batu 15 (RM80 juta), naik taraf jalan dari Tanjung Kidurong ke Taman Perindustrian Samalaju Bintulu (RM144 juta), projek membina 22 lorong memotong sepanjang Jalan Kuching ke Miri (RM220 juta) serta projek menaik taraf jalan dari simpang Nyabau ke simpang Bakun Bintulu (RM637.5 juta).

LikeTweet

Source: http://miri.my/2016/10/04/pembinaan-projek-jambatan-batang-igan-tidak-pernah-ditangguhkan/