Pembinaan pondok polis di dijangka kurangkan jenayah

MIRI: Pembinaan pondok polis di Desa Senadin yang dilancarkan semalam dijangka dapat mengurangkan kadar jenayah di kawasan perumahan dan komersil yang membangun dengan pesat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin Datuk Lee Kim Shin berkata beliau banyak menerima aduan daripada penduduk dan pelajar universiti mengenai jenayah khususnya pecah rumah.

“Sejak 2014, saya memohon menubuhkan pondok polis dan impian itu menjadi kenyataan. Pada tahun lalu Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi meluluskan peruntukan sejumlah RM20,000 untuk pembinaan pondok ini.

“Pemilihan Desa Senadin adalah signifikan memandangkan kawasan ini mempunyai populasi tinggi selain menempatkan universiti dan ramai pelajar asing selain penduduk tempatan,” katanya semasa melawat Pondok Polis Senadin di sini semalam.

Menteri Muda Pelancongan itu menambah, setakat ini pondok polis itu mempunyai enam kakitangan pegawai terdiri daripada empat pegawai berpangkat koperal, seorang berpangkat lans-koperal dan seorang konstabel.

“Kita berharap dapat menaik taraf pondok polis sebagai Balai Polis Desa Senadin dengan lebih ramai pegawai polis pada masa depan bagi memenuhi keperluan meningkatkan tahap keselamatan di kawasan ini,” katanya.

Terletak di Senadin Uptown Market, ia dibuka mulai jam 8 pagi hingga 8 malam setiap hari.

LikeTweet

Source: http://miri.my/2017/01/04/pembinaan-pondok-polis-di-dijangka-kurangkan-jenayah/