Pembinaan blok bilik darjah SK Bario dipercepat

Oleh Sudan Ajang//

BANTUAN: Gerawat menyampaikan bantuan kepada salah seorang murid SK Bario
yang menduduki UPSR.

BANTUAN: Gerawat menyampaikan bantuan kepada salah seorang murid SK Bario yang menduduki UPSR.

BARIO: Jabatan Pendidikan berjanji mempercepatkan pembinaan blok bilik darjah Sekolah Kebangsaan (SK) Bario demi kepentingan murid Kelabit dan Penan yang terjejas berikutan kebakaran pada Ahad lalu.

Kebakaran tersebut memusnahkan keseluruhan blok bilik darjah dengan kerugian dianggarkan sejumlah RM380,000.

Sebagai permulaan untuk tabung bantuan SK Bario, Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Datuk Gerawat Gala masing-masing berjanji menderma sejumlah RM30,000 dan RM20,000 dan lebih ramai dijangka menderma dalam masa terdekat.

Jabatan Pendidikan dan guru besar sekolah itu, Dora Tigan menempatkan 16 murid yang menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) di bilik kelas Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bario.

Selain itu, pihak sekolah bercadang menggunakan ruang di dewan sekolah, perpustakaan, pejabat kakitangan dan dewan makan lama sebagai bilik darjah sementara.

“Sekiranya tidak mencukupi mereka meminta pihak sekolah menggunakan kelas pada sebelah petang selepas sesi pagi,” kata Gerawat yang melawat 16 murid yang menduduki UPSR Isnin lalu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mulu itu berkata, Persatuan Kelabit Sarawak (RURUM) Bintulu turut menderma RM800 sebagai bantuan segera kepada murid terbabit.

“Sekolah memerlukan buku latihan dan buku teks, peralatan bilik darjah, kerusi, meja dan perabot serta komputer untuk menggantikan yang musnah dalam kebakaran,” katanya.

Beliau menambah, komuniti Bario berterima kasih kepada semua pihak yang memberi bantuan khususnya pemimpin negeri, Jabatan Pendidikan, Residen Miri Antonio Kahti Galis, Rurum Kelabit Sarawak, Jabatan Kebajikan Masyarakat Miri, Sarawak Energy Berhad (SEB) dan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).

Turut sama dalam lawatan itu ialah Pegawai Jabatan Pendidikan Daerah Baram Seripah Azizah yang turut meninjau blok bilik kelas yang menempatkan tahun satu hingga enam, kelas prasekolah, dapur dan bilik komputer yang musnah dijilat api.

“Sebahagian asrama dirobohkan untuk mengelak api merebak. Kita bersyukur kerana tiada kemalangan jiwa dan punca kebakaran masih dalam siasatan,” kata Gerawat.

Beliau turut mengadakan mesyuarat tergempar dengan Dora, wakil jabatan kerajaan, Pemanca Philip Lakai Tuan, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), ketua kaum dan guru-guru sekolah bagi membincangkan masa depan sekolah itu.

Seripah menambah, beliau akan memastikan bantuan segera diberikan kepada murid dan blok bilik kelas dibina secepat mungkin.

Sementara itu, satu jawatankuasa ditubuhkan untuk menguruskan bantuan dan sumbangan bagi membantu murid dan pihak sekolah.

Jawatankuasa tersebut diketuai Pegawai Tadbir Sarawak (SAO) Unit Kecil Bario Baru Tai dan jawatankuasa terdiri daripada Dora, Pengerusi PIBG SK Bario Penghulu Robertson, Pengerusi Rurum Kelabit Sarawak, Bario Panai Aran dan yang lain.

Bantuan wang tunai boleh disalurkan ke akaun 3181982624 (Public Bank Berhad) dan bantuan lain boleh dibuat dengan menghubungi Baru Tai (019-8343518) atau Dora Tigan (013-8148780).

Menurut Gerawat, SEB sudah diminta memeriksa pemasangan wayar untuk bangunan yang tidak terbakar di SK Bario.

Selain itu, kedua-dua sekolah SK Bario dan SMK Bario serta penduduk kampung diminta lebih kerap mengadakan latihan memadam api sebagai persediaan.

LikeTweet

Source: http://miri.my/2016/09/07/pembinaan-blok-bilik-darjah-sk-bario-dipercepat/