Pembinaan aliran keluar air atasi banjir kilat

Ia antara keutamaan atasi masalah banjir kilat di beberapa tempat di konstituensi Piasau: Sebastian// Oleh Clare Cinderella //

DENGAR: Sebastian (tiga kiri) bercakap dengan penduduk Kampung Luak bagi
mendengar pandangan dan masalah mereka semasa meninjau perjalanan projek
pembinaan sistem perparitan fasa pertama di kawasan berkenaan.

DENGAR: Sebastian (tiga kiri) bercakap dengan penduduk Kampung Luak bagi mendengar pandangan dan masalah mereka semasa meninjau perjalanan projek pembinaan sistem perparitan fasa pertama di kawasan berkenaan.

MIRI: Pembinaan untuk aliran keluar air bagi sistem perparitan dalam semua kampung, kawasan perumahan, pusat perdagangan, menjadi salah satu keutamaan dalam tempoh lima tahun ini bagi mengatasi masalah kekerapan banjir kilat berlaku di beberapa tempat di konstituensi Piasau di sini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau Datuk Sebastian Ting berkata kajian terhadap isu bagi mengenal pasti punca banjir kilat kerap terjadi di tempat tertentu dalam kawasan itu ialah kerana masalah perparitan dan alirannya yang tersumbat serta tanpa longkang yang dibina dengan cabang betul membolehkan air bertakung mengalir keluar.

“Salah satu daripada isu itu mengenal pasti kenapa kawasan ini kerap berlaku banjir kilat dan hasilnya menunjukkan bahawa perparitan masih perlu diperbaiki atau dinaik taraf untuk membolehkan ia mengalirkan air keluar,” jelas Sebastian kepada pemberita di sini, semalam.

Beliau mengadakan lawatan ke tapak untuk memantau kemajuan pembinaan sistem perparitan fasa pertama di Kampung Luak di sini, semalam.

Turut serta mengiringi beliau ialah Datuk Bandar Miri Adam Yii, Pemanca Abang Mohamad Datuk Seri Abang Othman, Penghulu Samat Alip dan wakil-wakil Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Bahagian Miri.

“Ini adalah salah satu tugas utama saya, iaitu bagi mengatasi banjir yang berlaku khususnya semasa hujan lebat dan pada musim landas (tengkujuh) kerana beberapa kawasan dilaporkan kerap berlaku banjir kilat.

“Sejak menjadi wakil rakyat di kawasan Piasau, pada dua bulan lepas saya telah bergerak di sekitar kawasan perumahan, pusat perniagaan dan kampung melihat sendiri masalah perparitan yang dikemukakan oleh rakyat dan penghuni kawasan perumahan di sini,” jelas Sebastian lagi.

Pada masa ini, Sebastian berkata, beliau sedang bekerjasama dengan JPS di bawah Kementerian Kerajaan Tempatan, Majlis Bandaraya Miri (MBM) termasuk melalui dana projek beliau untuk Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) bagi membiayai keperluan infrastruktur tersebut.

“Tumpuan saya dalam tempoh lima tahun ini untuk melihat semua sistem perparitan dan saliran di kawasan Piasau dan Pujut dinaik taraf dan dibina dengan baik menerusi kerjasama rapat dengan MBM dan Datuk Bandar Adam Yii.

“Saya berharap dapat memastikan segala projek akan berjalan lancar dan kita akan melakukan yang terbaik, bagi menangani masalah banjir kilat yang berlaku setiap kali hujan lebat,” jelas beliau.

Mengenai kawasan Senadin pula, Sebastian memberitahu bahawa bahagian utara Miri (DUN Senadin) dijaga dengan baik oleh Menteri Muda Pengangkutan Darat, Udara dan Keselamatan yang juga wakil rakyatnya Datuk Lee Kim Shin, yang bertanggungjawab memantau masalah infrastruktur sewajarnya.

Mengulas mengenai fasa pertama sistem perparitan yang ditinjau oleh beliau di Kampung Luak semalam, Sebastian berkata projek tersebut akan siap tidak lama lagi dan fasa kedua melibatkan tebing Sungai Kekawang akan bermula dalam tempoh tiga minggu.

Katanya tindak balas positif dan persetujuan daripada pemilik tanah untuk memberi laluan kepada pembinaan saliran tersebut dalam kawasan mereka adalah amat dihargai, termasuk di Kampung Luak dan sekitarnya.

“Kita berharap apabila projek ini siap sepenuhnya kelak, tidak akan ada lagi banjir kilat yang berlaku dan selalu menjejaskan penduduk,” tambahnya.

LikeTweet

Source: http://miri.my/2016/08/11/pembinaan-aliran-keluar-air-atasi-banjir-kilat/