KUALA LUMPUR: Keputusan Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Sarawak berhubung pembatalan konvensyen negeri itu Sabtu ini dibincangkan pada mesyuarat biro politik parti, petang ini.
Perkara itu disahkan Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil ketika ditemui di lobi parlimen di sini, hari ini.
Beliau berkata, pertemuan MPN PKR Sarawak di ibu negara seperti dilaporkan hanya diketahui melalui media.
“Pengurusan parti tidak diberitahu mengenai pertemuan itu, kita tahu melalui media saja,” katanya.
Beliau berkata, apa saja keputusan dibuat MPN PKR Sarawak semuanya diserahkan kepada mesyuarat biro politik parti.
MPN PKR Sarawak hari ini memutuskan tetap dengan pendirian membatalkan konvensyen negeri yang sepatutnya dijadualkan Sabtu ini di Miri kerana tidak berpuashati dengan cara parti menyelesaikan isu jemputan perasmian Kongres Nasional parti Angkatan Muda Keadilan (AMK).
Sebelum ini MPN PKR Sarawak memutuskan isu itu perlu diselesaikan secara adil mengikut lunas demokrasi.
Pengerusi MPN PKR Sarawak, Baru Bian yang mengadakan sidang media bersama 32 pemimpin PKR negeri yang terbang dari Kuching, hari ini, menyatakan keputusan itu dibuat bukan sebagai ugutan kepada parti.
Sebaliknya, keputusan diambil itu adalah usaha mendapatkan kuasa autonomi seperti dijanjikan parti itu sebelum ini.