Peluang selami hidup masyarakat tanah tinggi

Oleh Sudan Ajang//

KEMBALI LAGI: Dennis (duduk tengah) bersama yang lain semasa mesyuarat
jawatankuasa Festival Tarian dan Muzik Rakyat Tanah Tinggi Sarawak 2016 yang
akan diadakan pada 9 dan 10 Disember di Long Bedian.

KEMBALI LAGI: Dennis (duduk tengah) bersama yang lain semasa mesyuarat jawatankuasa Festival Tarian dan Muzik Rakyat Tanah Tinggi Sarawak 2016 yang akan diadakan pada 9 dan 10 Disember di Long Bedian.

MIRI: Kira-kira 2,000 pengunjung dijangka memeriahkan Festival Tarian dan Muzik Rakyat Tanah Tinggi Sarawak 2016 pada 9 dan 10 Disember di Daerah Kecil Long Bedian.

Pengerusi festival merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan, Dennis Ngau berkata ini merupakan festival kali ketiga berikutan kejayaan festival diadakan sebelumnya pada 2008 dan 2012.

“Walaupun lokasi festival terletak agak jauh dari Miri namun ini tidak menghalang penganjuran tersebut menjadi tumpuan.

“Pemilihan Long Bedian sesuai dengan kedudukannya di tengah-tengah hutan bersesuaian dengan konsep rakyat tanah tinggi,” katanya semasa mengetuai Mesyuarat Jawatankuasa Festival Tarian dan Muzik Rakyat Tanah Tinggi Sarawak 2016 di sini semalam.

Selain itu, Long Bedian dipilih kerana kita mahu pengunjung merasai pengalaman berkunjung ke lokasi ini kebetulan berjiran dengan Taman Negara Mulu.

Festival ini membantu mempromosikan aktiviti-aktiviti yang boleh membawa pelancong dan pengunjung datang ke daerah Telang Usan sekali gus memperkenal cara hidup mereka kepada masyarakat luar.

Selain itu, membuka peluang kepada penduduk-penduduk setempat menikmati hasil pelancongan termasuk dari segi pengangkutan, inap desa, makanan, minuman serta jualan kraf tangan.

“Pelbagai tarikan kita tawarkan dalam festival ini tetapi paling istimewa tentulah pengalaman tinggal di inap desa Orang Ulu, selain berpeluang menyaksikan tarian-tarian, muzik dan persembahan kebudayaan asli etnik Orang Ulu yang tidak pernah dipertontonkan kepada khalayak sebelum ini,” katanya

Dennis berkata, antara etnik terlibat termasuklah Kenyah, Bisaya, Kayan, Penan, Kelabit, Lun Bawang, Berawan, Saban dan Lakiput.

Pengunjung juga berpeluang membeli kraf tangan yang dihasilkan oleh kaum tersebut khususnya kaum Penan. Selain itu, festival ini bagi menyahut seruan kerajaan terus mempromosikan produk pelancogan khususnya di luar bandar.

“Festival ini juga sempena ulang tahun pertama wilayah Apoh dinaik taraf sebagai unit kecil di Long Bedian,” kata Dennis.

Menurutnya, program edisi ketiga ini dianjurkan bersama Kementerian Pelancongan Sarawak, Pusat Khidmat Telang Usan, Pejabat Residen dan Daerah Miri, Persekutuan Persatuan Orang Ulu Sarawak Malaysia (FORUM), Pertubuhan Persatuan-persatuan Cina, Pejabat Ketua Kaum Orang Ulu Temenggung Elizabeth Deng, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Long Bedian, Sarawak Tourism Board (STB) dan Daerah kecil Long Bedian dan beberapa agensi lain.

Dennis berkata, pihaknya optimis dapat menarik minat pelancong luar termasuk dari Singapura dan Brunei selain pengunjung dari Kuala Lumpur untuk turut serta.

Perjalanan ke lokasi itu memerlukan pengunjung menyewa pacuan empat roda menuju ke Long Lama dari Miri. Setelah itu, perjalanan diteruskan dengan melalui jalan balak dari Long Lama ke Long Bedian.

Beliau berharap penganjuran program ini dapat menarik minat generasi muda untuk terus mendalami dan mengamalkan budaya tradisi kaum mereka.

“Kita tidak mahu budaya ini terus pupus dan tenggelam akibat pembangunan dan kemodenan,” katanya.

Untuk maklumat lanjut mereka berminat boleh menghubungi jawatankuasa penganjur iaitu Jok Eng Jok 013-8305962, SAO Ezra Uda 016-8867696 dan Leslie Lah Anyie 013-8652215.

Serentak dengan festival itu, pengunjung boleh mengambil pakej menarik melawat Taman Negara Gunung Mulu dari Miri-Pekan Long Lama-Daerah Kecil Long Bedian- penempatan Penan di Long Iman-Taman Negara Gunung Mulu.

LikeTweet

Source: http://miri.my/2016/10/19/peluang-selami-hidup-masyarakat-tanah-tinggi/