Pelancaran satelit keempat pemangkin kemajuan industri

BAIKONUR Cosmodrome, Kazakhstan, 12 April 1961 - Roket Vostok-1, meluncur megah ke angkasa lepas membawa Yuri Gagarin, angkasawan Rusia yang ditabalkan sebagai manusia pertama ke angkasa lepas.

Di negara Asia Tengah ini juga adalah tempat pelancaran satelit pertama dunia serta kapal angkasa yang membawa angkasawan pertama beberapa negara maju dunia seperti Perancis dan Jerman.

Pada abad ke-21 ini, kemudahan pelancaran roket ke angkasa lepas tertua dan terbesar di dunia yang terletak kira-kira 200 kilometer ke timur Laut Aral itu juga memberi makna besar kepada Malaysia apabila pada jam 7:28:30 pagi (waktu Malaysia) Selasa lalu, roket Proton Breeze-M dilancarkan.

Pada hujung roket itu atau dikenali sebagai kon hidung, terletak komponen paling penting kepada kemajuan industri Teknologi Komunikasi dan Maklumat (ICT) negara, satelit Measat-3.

Dari permulaan melawan tarikan graviti, Proton Breeze-M, mengambil masa sembilan jam 12 minit sebelum satelit dan roket pelancar berpisah. Satelit kemudian ke orbitnya pada kedudukan longitud 91.5 darjah timur dan menjalani ujian yang dijangka berakhir pada 1 Februari 2008.

Apabila mula beroperasi, satelit itu akan meningkatkan kemampuan di lokasi utama Measat sebanyak 300 peratus dan meluaskan liputan rangkaiannya ke lebih 100 negara yang mengandungi 70 peratus penduduk dunia.

Apakah kepentingan Measat-3? Sesetengah pihak melihat pelancaran satelit berharga RM1 bilion sebagai pelaburan besar sebuah syarikat swasta tempatan.

Memang fakta ini adalah benar, tetapi dalam konteks lebih besar, Measat-3, meluncur ke angkasa lepas bersama harapan seluruh rakyat dan meletakkan Malaysia dalam kelompok eksklusif negara di dunia ini yang mampu menghantar satelit ke angkasa lepas.

Berdasarkan pelancaran Measat-3 yang mendapat liputan meluas di peringkat antarabangsa, sudah tentu bukan satu peristiwa biasa bagi sebuah negara kecil seperti Malaysia kerana pelancaran satelit itu mempunyai hikmah yang besar kepada negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, menyimpulkan Measat-3 sebagai membuka peluang kepada Malaysia berkongsi pengalaman dan teknologi dengan negara lain yang terbabit dalam pembangunan teknologi itu.

Beliau juga melihat pelancaran satelit ketiga siri Measat itu membuktikan komitmen Malaysia memajukan aplikasi teknologi komunikasi satelit yang boleh memberi pelbagai manfaat.

Hakikat kepentingan pelancaran Measat-3 terserlah berdasarkan kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, yang menyaksikan pelancaran di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, dengan menyifatkan satelit baru itu sebagai pemangkin kemajuan industri telekomunikasi dan media negara.

Menjawab persoalan kepentingan pelancaran Measat-3 oleh Measat Satellite Systems Services Sdn Bhd (Measat), antara bidang yang dijangka menerima manfaat ialah akses internet jalur lebar.

Measat-3 dijangka menjadi pemacu utama untuk mencapai sasaran Rancangan Malaysia Ke Sembilan (RMK-9), menghubungkan 3.73 juta langganan di sektor awam, swasta dan orang ramai kepada internet jalur lebar pada 2010.

Setakat akhir tahun lalu, hasil kajian Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mendapati hanya 1.9 peratus penduduk negara mempunyai akses kepada internet jalur lebar.

Pelancaran Measat-3 turut memberi faedah kepada syarikat telekomunikasi dan penyiaran Malaysia kerana boleh menggunakan keupayaan tambahan Measat-3 untuk memperluaskan perkhidmatan masing-masing.

Antara manfaat besar pelancaran Measat, bermula dengan pelancaran Measat-1 pada 1 Januari 1996 dan Measat-2 pada November 1996 ialah mengubah senario penyiaran televisyen negara.

Hingga awal 1990-an, masih ada kawasan di Malaysia yang tidak mendapat siaran televisyen dan di sesetengah kawasan, mutu gambar yang dilihat amat rendah, tetapi ini diterima sebagai suatu keadaan biasa.

Satelit Measat mengubah pandangan itu apabila melalui teknologi televisyen DTH (Secara Langsung Ke Rumah) pada 1996, kawasan pedalaman dan terpencil, terutama di Sabah dan Sarawak yang sebelum ini mustahil menerima siaran televisyen mulai merasai nikmat itu.

Hari ini, terima kasih kepada peningkatan taraf hidup menyebabkan bukan luar biasa melihat pemandangan rumah di kawasan bandar dan luar bandar mempunyai antena ceper kecil untuk menerima siaran televisyen secara langsung daripada satelit.

Timbalan Perdana Menteri juga mengakui bahawa sejak pelancaran Measat-1, jumlah langganan telefon bimbit di negara ini meningkat ketara kepada 20 juta tahun ini, berbanding hanya 700,000 pada 1995.

Satelit Measat berkuasa tinggi memang direka bentuk secara khusus untuk menyokong keperluan ICT negara dengan menyokong pertumbuhan komunikasi seperti perkhidmatan GSM (Sistem Global Untuk Komunikasi Mobil).

Selain GSM, Measat membawa pembaharuan seperti VSAT (Terminal Bukaan Terkecil) yang membolehkan syarikat dengan operasi yang jauh mendapat akses kepada satu pangkalan data maklumat bersama.

Kejayaan Measat mencerminkan ketangkasan Malaysia menceburi industri angkasa lepas, bermula dengan Pelan Tindakan Pembangunan Industri Angkasa Lepas 1995 yang menggembleng kepakaran agensi kerajaan dan sektor swasta untuk mengubah industri angkasa lepas menjadi sektor ekonomi yang penting.

Ini diperkukuhkan dengan penubuhan Agensi Angkasa Negara pada 2002 yang asalnya adalah Bahagian Penyelidikan Sains Angkasa yang beroperasi sejak 1993.

Antara agenda utama negara ialah melancarkan satelit kecil berhampiran orbit Khatulistiwa. Dalam tempoh lima tahun di Baikonur Cosmodrome, satelit mikro TiungSat-1, dilancarkan pada 26 September 2000.

TiungSat-1 dibina melalui program latihan dan pemindahan teknologi membolehkan jurutera Malaysia dari Astronautics Technology Sdn Bhd (ATSB) bekerjasama dengan jurutera Surrey Setellite Technology Limited (SSTL) selama setahun.

Begitu juga dengan Measat yang boleh berbangga sebagai sebuah syarikat Malaysia tulen kerana 95 peratus kakitangan adalah warga tempatan. Dua jurutera tempatan turut dihantar ke kilang Boeing di Amerika Syarikat untuk menyelia pembuatan dan pengujian satelit bagi menjayakan pelancaran Measat-3.

Barang kali timbul pertanyaan mengapa perlu mengeluarkan wang yang banyak untuk melancarkan satelit seperti Measat dan TiungSat, sedangkan perkhidmatan satelit ditawarkan oleh pelbagai satelit komersil.

Sudah tentu banyak perkiraan yang dibuat untuk melancarkan satelit sendiri, berbanding menyewa kemudahan satelit sedia ada.

Selain berdikari, industri satelit amat berdaya saing dengan peningkatan permintaan terhadap perkhidmatan satelit.

Laporan Persatuan Industri Satelit (SIA) 2006 mendapati bahawa sepanjang 2005, jumlah perolehan industri itu adalah kira-kira RM360 bilion dengan kira-kira 50 peratus disumbangkan oleh perkhidmatan televisyen DTH.

Walaupun hanya sebuah negara kecil, Malaysia berjiwa besar dan bukan hanya mahu menjadi pemerhati dan pengguna. Pelancaran satelit seperti Measat-3 membuktikan Malaysia juga mahu menjadi pemain utama industri ini.