Pelaksanaan RTP di Telang Usan berjalan lancar

RM5 juta peruntukan sudah diagih secara saksama kepada setiap rumah panjang kawasan itu: Dennis

Oleh Sudan Ajang //

MIRI: Pelaksanaan Program Transformasi Luar Bandar (RTP) di Telang Usan berjalan lancar dan mengikut jadual dengan beberapa projek berjaya disiap.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan, Dennis Ngau berkata, sejumlah RM5 juta peruntukan sudah diagih secara saksama kepada setiap rumah panjang kawasan Telang Usan.

“Berdasar lawatan kerja sebelum ini, saya berpuas hati dengan pelaksanaan projek berjalan lancar seperti dijadualkan meskipun menghadapi pelbagai cabaran,” katanya kepada Utusan Borneo selepas mengadakan lawatan kerja ke kawasan Telang Usan di sini kelmarin.

Jelasnya, cabaran itu termasuk pembinaan jalan utama dari Long Lama ke bahagian Apoh, Long Lama ke ulu Baram, Lapok ke Ulu Tinjar dan Long Lama ke Ulu Baram.

Dennis menggesa penduduk di Telang Usan terus memberi kerjasama kepada beliau dan Ahli Parlimen Anyi Ngau bagi melancarkan pelaksanaan projek pembangunan jaringan jalan di kawasan itu.

Sebelum ini, Jawatankuasa Pembangunan Baram Tengah diketuai Temenggung Elizabeth Deng semasa lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ke Long Laput menyerahkan kertas kerja memohon kerajaan persekutuan membangunkan kawasan rumah panjang dari Long Laput hingga Long Keseh dengan projek tanaman berintegrasi.

Projek tanaman ini bagaimanapun hanya dapat dilaksana dengan pembinaan jalan raya yang baik.

“Kerajaan sudah melulus peruntukan lebih RM100 juta untuk membina jalan berturap dan kontrak sudah dikeluar, namun kerja pembinaan terpaksa dihentikan kerana campur tangan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tertentu,” katanya.

Dennis menegaskan, rakyat perlu memahami projek pembangunan tersebut akan memanfaatkan mereka dan tindakan menghalang pembangunan di situ hanya merugikan diri mereka sendiri.

LikeTweet

Source: http://miri.my/2016/07/09/pelaksanaan-rtp-di-telang-usan-berjalan-lancar/