Pelaksanaan, pendekatan RTB berbeza dari tempat ke tempat

SIBU: Pelaksanaan Rancangan Tebatan Banjir (RTB) di sesuatu tempat adalah berbeza dengan tempat lain memandangkan ia memerlukan pendekatan serta keperluan juga berbeza.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata RTB dilaksanakan di satu kawasan tidak semestinya dapat dilaksanakan atau diguna pakai kawasan lain.

“Projek tebatan banjir adalah berbeza dari satu kawasan dengan kawasan lain. Projek ini bergantung kepada keperluan teknikal dan keadaan di sesuatu kawasan terbabit.

“Setiap projek perlu kajian mendalam dan dilaksanakan dengan berhati-hati. Apa yang kita laksanakan di Sibu tidak mungkin boleh diguna pakai di Kuching, Bintulu atau Miri,” ujarnya kepada pemberita baru-baru ini.

Wan Junaidi berkata, RTB Sibu bagi Fasa 1 dan Fasa 2 telah siap dibina berjaya membebaskan bandar ini daripada masalah banjir besar meskipun berlaku hujan lebat dan kejadian air pasang besar.

Katanya, selain itu Simunjan, Bintulu, Sibu dan Kuching akan diberi peruntukan bagi melaksanakan projek tebatan banjir untuk tempoh dua hingga tiga tahun akan datang.

Beliau juga memberitahu, semua sungai negeri ini akan dilengkapi dengan sistem pemantauan paras air yang dipasang bermula pada 2016 hingga 2017.

“Sistem ini membolehkan ramalan mengenai kejadian banjir dilakukan lebih tepat berbanding sebelum ini,” jelasnya.

Fasa pertama pemasangan sistem pemantauan paras air lebih tertumpu di Kelantan, Terengganu, Johor, Perak dan Pahang.

Bagi fasa kedua, sistem itu dipasang di Sarawak dan Sabah. Sehingga kini terdapat 168 stesen pemantauan paras air terdapat di Sarawak.

LikeTweet

Source: http://miri.my/2016/01/01/pelaksanaan-pendekatan-rtb-berbeza-dari-tempat-ke-tempat/