Pelabuhan di Sarawak perlu berinteraksi

Kongsi pengalaman dan masalah bersama supaya operasi berdaya maju, kata Masing

// Oleh Abang Ismail Abang Su’ud //

TINJAU: James Masing (tengah) sambil diiringi (dari kanan) Dr Rundi,
Hamdan, Lee, Liwan dan yang lainnya meninjau dari Menara Kidurong LPB operasi
di pelabuhan Bintulu.

TINJAU: James Masing (tengah) sambil diiringi (dari kanan) Dr Rundi, Hamdan, Lee, Liwan dan yang lainnya meninjau dari Menara Kidurong LPB operasi di pelabuhan Bintulu.

BINTULU: Pelabuhan di Sarawak perlu berinteraksi antara satu sama lain dengan berkongsi pengalaman dan masalah supaya dapat ditangani secara bersama sekali gus memastikan operasi pelabuhan negeri ini lebih berdaya maju.

Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pengangkutan, Tan Sri Datuk Amar Dr James Jemut Masing berkata, untuk tujuan itu Jawatankuasa Perundingan Eksekutif Pelabuhan Sarawak akan ditubuhkan yang akan mengadakan pertemuan sekali dalam setahun untuk menangani masalah pelabuhan negeri ini.

Katanya, seperti diperkata Pengurus Besar Lembaga Pelabuhan Bintulu (LPB) Datuk Hamdan Abdul Hamid masalah berlaku ialah lima lembaga pelabuhan di Sarawak tidak berinteraksi antara satu sama lain.

“Sepatutnya mereka perlu berhubung sesama sendiri dan berkongsi maklumat yang mereka ada,” ujarnya semasa ditemui media selepas lawatan kerja rasminya dan menghadiri taklimat mengenai perkembangan dan operasi pelabuhan Bintulu di Menara Kidurong LPB di Tanjung Kidurong semalam.

Beliau berkata, ini merupakan perkara penting yang dibangkitkan dalam lawatan bersama Pengerusi LPB, Datuk Dr Stephen Rundi Utom supaya lebih faham mengenainya.

Justeru itu katanya, semua pelabuhan di Sarawak perlu belajar untuk berkomunikasi antara satu sama lain di samping mencari mencari jalan terbaik membantu satu sama lain dan menyelesaikan sebarang masalah secara bersama.

“Mungkin pengurusan LPB boleh membantu Lembaga Pelabuhan Kuching untuk menyelesaikan masalah, sama juga dengan Lembaga Pelabuhan Rajang.

“Begitu juga Lembaga Pelabuhan Miri yang mana saya difahamkan pelabuhan ini berkomunikasi dengan baik antara mereka,” ujarnya yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur Sarawak.

Katanya, pengwujudan Jawatankuasa Perundingan Eksekutif Pelabuhan Sarawak kelak akan bertindak sebagai jawatankuasa berperanan sebagai tempat menyelesai dan berkongsi masalah sekali gus akan mewujud interaksi lebih baik antara pelabuhan di negeri ini.

Tambahnya, sebelum ini lima lembaga pelabuhan di Sarawak hanya bertemu di luar Sarawak tetapi tidak dalam Sarawak dan situasi itu perlu diubah.

“Saya percaya pengerusi LPB akan bersetuju dengan saya supaya jawatankuasa berkaitan pelabuhan terbabit ditubuh bagi memudahkan perbincangan antara pelabuhan ada,” ujarnya.

Ditanya mengenai penubuhan jawatankuasa itu katanya, pihaknya membincangkan perkara itu lebih lanjut dan akan membentangkannya dalam kabinet bagi mendapat persetujuan kerajaan negeri sekali gus akan mempercepat proses penubuhannya pada tahun ini.

“Sekiranya perkara itu dipersetujui, saya akan bercakap dengan pengerusi lembaga pelabuhan lain di negeri ini mengenai cara ia dilakukan sebagai menteri bertanggungjawab terhadap operasi pelabuhan di Sarawak.

“Saya bersyukur kerana diberitahu mengenainya dalam usaha kita untuk memastikan operasi pelabuhan di negeri ini dapat bergerak maju ke hadapan,” jelasnya.

Disebabkan itu katanya, penting bagi setiap pelabuhan menyampaikan taklimat kepada kementeriannya supaya pihaknya mengetahui cara untuk menjadikan operasi pelabuhan di negeri berada pada kedudukan yang lebih baik.

Beliau memberi contoh mengenai pengurusan LPB yang menjalankan kerja mereka dengan lebih cekap terutamanya membabitkan gerak kerja dengan operator pelabuhannya iaitu Bintulu Port Sdn Bhd (BPSB) sehingga banyak membawa hasil.

“Itu merupakan perkara yang kita mahukan,” katanya sambil menambah lawatan ke LPB merupakan yang pertama sejak menyandang jawatan menteri pengangkutan untuk mendapat gambaran yang lebih jelas mengenai perkembangan dan struktur LPB dengan BPSB dan hubungan rapat antara kedua-duanya.

Turut mengiringi ialah Menteri Kemudahan Awam merangkap Pengerusi LPB dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemena, Datuk Dr Stephen Rundi Utom; Menteri Muda Pengangkutan Udara, Darat dan Keselamatan merangkap Menteri Muda Pelancongan, Datuk Lee Kim Shin; Menteri Muda Pengangkutan Sungai dan Keselamatan merangkap ADUN Belaga, Liwan Lagang.

Juga memeriahkan majlis ialah ADUN Samalaju, Majang Renggi; ADUN Murum, Kennedy Chuk Pai Ugon; ADUN Tamin, Christopher Gira Sambang dan pengurusan LPB serta ketua jabatan kerajaan di sini.

LikeTweet

Source: http://miri.my/2016/08/12/pelabuhan-di-sarawak-perlu-berinteraksi/