Pekerja luar pantai Semenanjung seperti ‘pelancong bekerja’: Dennis

Oleh Clare Cinderella//

MIRI: Setiausaha PKR Baram Dennis Along kelmarin mendakwa pekerja luar pantai dari Semenanjung Malaysia datang ke Sarawak tidak ubah seperti ‘pelancong bekerja’ menggunakan pas lawatan sosial mendarat di Lapangan Terbang Miri kemudiannya meneruskan perjalanan ke pelantar-pelantar minyak di perairan negeri ini.

Beliau mendedahkan apabila mereka tiba di Lapangan Terbang Miri dari Semenanjung Malaysia kemudian pergi ke tandas dan menukar pakaian kepada ‘seragam rasmi’ iaitu ‘coverall’ biasa digunakan oleh pekerja luar pantai dengan van sedia menunggu membawa mereka ke jeti di Pulau Melayu.

Seperti biasa, mereka bekerja selama dua minggu di pelantar minyak terbabit sebelum kembali semula ke Semenanjung Malaysia dan begitulah sebaliknya, selepas dua minggu kemudiannya menjadikan modus operandi mereka sukar dikesan penguat kuasa.

“Kita tidak menyalahkan imigresen kerana mereka mungkin terlepas pandang taktik ini, apatah lagi pekerja terbabit terus bersalin pakaian sebaik mendarat di lapangan terbang sebelum meneruskan perjalanan ke jeti dengan van sedia menunggu,” katanya pada sidang akhbar di sini kelmarin.

Sidang akhbar berkenaan bagi mengumumkan sokongan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk Sarawak 4 Sarawakian (S4S) serta PKR Cabang Miri dan Baram bagi mengadakan demonstrasi aman di hadapan pejabat Petronas Carigali Operasi Sarawak (SKO) di Lutong di sini pada 24 Ogos ini (Rabu), bermula jam 11 pagi.

Turut hadir Ahli Parlimen Miri Dr Teo Yu Keng, aktivis S4S, Fong Pau Teck dan beberapa bekas pekerja dalam industri minyak dan gas di sini termasuk bekas pekerja Petronas.

Menurut Dennis, operasi penguatkuasaan dijalankan penguat kuasa imigresen di jeti Pulau Melayu tidak mampu menyekat mereka bekerja ke luar pantai kerana mereka boleh menggunakan kaedah lain seperti menerusi Pulau Labuan untuk pergi ke pelantar luar pantai di Miri dan perairan sekitarnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Dennis berkata PKR gembira dengan ketegasan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem dan Timbalannya Datuk Amar Douglas Unggah bertindak membekukan permohonan permit pekerja luar Petronas serta-merta berkuat kuasa 7 Ogos lalu.

Dennis berkata, usaha itu tidak dapat menghalang mereka daripada datang ke Sarawak kerana Petronas melantik banyak kontraktor menawarkan khidmat kejuruteraan dan juruteknik dan kakitangan lain dari Semenanjung Malaysia.

“Walaupun kerajaan negeri menyekat mereka datang bekerja di negeri ini tetapi mereka boleh datang melalui kontraktor yang dilantik menawarkan khidmat jurutera, juruteknik dan sebagainya,” kata beliau.

Sehubungan itu, Dennis menggesa Jabatan Tenaga Kerja (JKT) melawat pejabat Petronas Miri dan Bintulu serta operasi luar pantai bagi membuat pemeriksaan secara lanjut dan telus bagi memastikan mereka mematuhi undang-undang imigresen Sarawak apabila bekerja di sini.

“Kami berharap pihak berkuasa melakukan pemeriksaan mengejut mendapatkan data dan jumlah sebenar (melanggar undang-undang permit kerja negeri ini) di setiap lokasi dan pelantar minyak supaya kebenaran akan terbongkar,” katanya.

Sementara itu, menurut sumber-sumber boleh dipercayai terdapat sebilangan kakitangan bawahan berjawatan tinggi di Petronas sudah tamat tempoh permit kerja mereka di samping sebilangan masih menunggu kelulusan apatah lagi dengan tindakan kerajaan negeri menggantung permohonan permit kerja itu.

Tinjauan di pejabat Petronas Carigali SKO di Lutong di sini menyaksikan anggota keselamatan mengawal ketat segala urusan keluar masuk ke bangunan tersebut di pintu masuk utama mereka.

LikeTweet

Source: http://miri.my/2016/08/24/pekerja-luar-pantai-semenanjung-seperti-pelancong-bekerja-dennis/