Pejabat Pos Lutong dalam senarai projek ubah suai

Oleh Connie Sylvia Mesa//

MIRI: Pejabat Pos Lutong telah disenarai dalam perancangan untuk projek ubah suai bagi tahun Kewangan April 2015 hingga Mac 2016.

Menteri Muda Perhubungan Datuk Lee Kim Shin berkata, projek terbabit memperluas kawasan kaunter diperlu bagi menampung keperluan pelanggan yang kian meningkat selaras dengan pembangunan di kawasan tersebut.

Lutong semakin membangun dengan wujudnya kompleks beli-belah, pasar raya dan rumah kedai baharu di sekitar kawasan.

Justeru, tiba masanya untuk Post Malaysia Berhad menaik taraf kemudahan Pejabat Pos Lutong dengan menyedia ruang tempat letak kenderaan dan penambahan tenaga kerja yang hanya dua kakitangan bertugas masa kini, jelasnya.

Lee berkata demikian dalam sidang media di bilik mesyuarat Pejabat Daerah Miri selepas mengadakan lawatan ke Pejabat Pos Lutong dan Pejabat Pos Miri di sini semalam.

Hadir sama ialah Pengerusi SUPP Piasau Datuk Sebastian Ting, Pengerusi SUPP Pujut Adam Yii, Kaunselor Ong Chee Yee, Pengurus Operasi Pos Malaysia Berhad Sarawak Raelo Saming, Pengurus Jualan dan Perkhidmatan Kawasan Sawing Bajing dan Pengurus Pusat Mel Miri Abang Khairul Nizam.

Lee yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Senadin turut mencadangkan Pos Malaysia Berhad menggunakan kawasan di belakang Pejabat Pos Lutong untuk projek memperluas pejabat terbabit.

Bagi Pejabat Pos Miri, Lee mencadang Pos Malaysia Berhad untuk menaik taraf kemudahan pejabat pos berkenaan.

Menjawab cadangan terbabit, Raelo memberitahu Pejabat Pos Miri mempunyai lapan kaunter beroperasi dengan purata sebanyak 125 transaksi sehari.

Katanya, norma purata transaksi harian bagi satu kaunter di Pejabat Pos berkenaan 180 transaksi.

Jelas Raelo, pada masa ini, Pos Malaysia Berhad tidak mempunyai rancangan untuk menubuhkan Pejabat Pos di kawasan Permyjaya.

Ini kerana terdapat dua pos mini di kawasan Permyjaya beroperasi iaitu di Tudan dan satu lagi di Pujut 7.

Selain itu, terdapat juga Pos Mini di Senadin dan Taman Tunku. Kita akan sentiasa memantau kualiti perkhidmatan dari semasa ke semasa bagi menjamin mutu perkhidmatan pos tidak terjejas, katanya.

Jelasnya lagi, Pusat PosLaju dan Bungkusan akan mengguna ruang kaunter terdahulu di kawasan Ar Rahnu seperti di Miri, Sri Aman dan Bintulu untuk memperluaskan kawasan tempat kerjanya.

Dengan pemindahan kaunter di bahagian baharu, kawasan operasi dapat diperluas lagi.

Perancangan ubah suai dijangka bermula pada Julai depan dan penambahan bahagian operasi pula dijangka bulan Ogos hingga September tahun ini, tambahnya.


Source: http://www.theborneopost.com/?p=500859